SIBU: Majlis Santapan Malam Bersama Komuniti Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-marhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sempena program Kembara Kenali Borneo disambut dengan rampaian muzik tradisi, persembahan tarian kebudayaan Melayu Melanau dan rangkaian lagu Irama Malaysia di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC), di sini, malam tadi.
Rombongan diraja disambut dengan rampaian muzik tradisi, persembahan tarian kebudayaan Melayu Melanau dan rangkaian lagu Irama Malaysia di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC), di sini, malam tadi.
Baginda akui teruja menelusuri sepanjang Lebuhraya Pan Borneo dan berterima kasih dengan penduduk di kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak yang menyambut rombongan Baginda.
“Terima kasih kepada penduduk Miri, Bintulu dan Sibu, saya cukup terharu dengan sambutan luar biasa dari hati ikhlas, rakyat Borneo ini cukup hebat sekali, sanggup menunggu keberangkatan keluarga saya.
“Dari Tawau sehingga Sibu saya memandu sendiri (dengan jarak) sekitar 1,700 kilometer (km) dan Raja Permaisuri seorang co-pilot yang baik, menulis segala baik buruk sepanjang perjalanan,” titah Tuanku.
Pada majlis santapan malam tadi, Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri sempat mendendangkan lagu Pesanan Buat Kekasih dan Gurindam Jiwa sebelum kejutan Majlis Sambutan Perayaan Ringkas Hari Keputeraan Paduka anakanda Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah hari ini dan Hari Keputeraan Putera Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah pada 17 September 2023 kelak.
Penyeri majlis yang tampil membuat persembahan ialah Imran Azim Iskandar, Juara Kategori Klasik Pertandingan Biola Kejohanan Seni Persembahan Dunia Amerika Syarikat, D Render Band dan Nangka’ Dancer.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dan rombongan akan meneruskan perjalanan esok dari Sibu ke Julau, Sri Aman, Kuching dan berakhir di 0.0 kilometer, Telok Melano pada Rabu, 13 September 2023.
Keberangkatan tiba rombongan diraja di Dewan MUC disambut oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, serta dif-dif kenamaan yang lain. –UTUSAN