Kebakaran sekolah: KPM perlu 2 minggu nilai kerosakan sebelum salur bantuan - Utusan Malaysia

Kebakaran sekolah: KPM perlu 2 minggu nilai kerosakan sebelum salur bantuan

FADHLINA Sidek (dua dari kanan) melihat rakaman dron dan gambar yang diambil oleh seorang pegawai PPD dalam kejadian kebakaran bangunan kelas di SK Permatang Tok Kandu, Pulau Pinang petang tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Tempoh sekurang-kurangnya dua minggu diperlukan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menilai kerosakan sebenar susulan kebakaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Kandu dekat sini, sebelum bantuan yang sewajarnya dapat diluluskan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, buat masa ini, ibu bapa tidak perlu risau tentang anak mereka yang bersekolah di situ memandangkan sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) tetap akan berjalan seperti biasa.

Tambah beliau, pada masa sama, pihaknya akan turut mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak sekolah untuk memuktamadkan beberapa perkara lain yang berkaitan.

“Tindakan penerusan pendidikan anak-anak yang saya fikir antara jaminan yang perlu kita berikan kepada ibu bapa bahawa anak-anak mereka akan terus belajar dalam apa keadaan sekalipun.

“Cuma mekanisme itu kita akan pastikan semula sama ada secara PDPR (Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah) atau kelas berganti dan sebagainya.

“Ia hanya akan ditentukan hasil bersama perbincangan dengan PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) dan JPN (Jabatan Pendidikan Daerah),” katanya.

KEADAAN SK Permatang Tok Kandu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang selepas api yang marak berjaya dipadamkan sepenuhnya lewat petang tadi.

Beliau ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di sekolah tersebut yang terletak di Jalan Permatang Pauh, di sini malam ini.

Dalam kejadian kebakaran kira-kira pukul 6.02 petang tadi itu, tiga daripada lima buah kelas yang terletak di tingkat tiga sekolah tersebut musnah 100 peratus sementara dua lagi kelas musnah hampir 40 peratus.

Difahamkan, daripada tiga kelas yang musnah itu, satu daripadanya merupakan sebuah makmal komputer.

Bagaimanapun, ketika kejadian, tiada guru atau murid yang terlibat.

Dalam pada itu, Fadhlina memberitahu, blok yang terlibat dengan kebakaran itu akan ditutup demi keselamatan warga sekolah.

Namun, katanya, bagi sesi P&P pula, akan diwujudkan satu ruang tambahan yang akan digunakan bagi membolehkan murid terus mendapat akses pendidikan.

Tambah Ahli Parlimen Nibong Tebal berkenaan, bagi memastikan keselamatan keseluruhan warga sekolah itu terjamin, Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga telah mengambil langkah keselamatan dengan memeriksa status pendawaian elektrik di sekolah itu ketika ini.

“Sehubungan itu, kita mohon kepada guru-guru termasuk guru besar sekolah serta para waris untuk bersabar. Bagi kita ruang untuk melaksanakan tugas-tugas (yang berkaitan) untuk memastikan keselamatan keseluruhan premis sekolah ini,” katanya.

Difahamkan, selain jumlah kerugian yang masih belum ditentukan, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya