KDN adakan libat urus tambah baik kawal selia penerbitan kalimah

KDN adakan libat urus tambah baik kawal selia penerbitan kalimah ‘Allah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengadakan siri Majlis Libat Urus Bersama Badan Pengurusan Syariah hari ini bagi mendapatkan cadangan tambah baik aspek penguatkuasaan dan kawal selia penerbitan yang mengandungi kalimah ‘Allah’ di seluruh negara.

Menurut KDN, siri keempat itu disempurnakan Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah bersama seramai 23 orang jemputan dari Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri, dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Dalam melaksanakan majlis tersebut, para jemputan diberikan ruang untuk membincangkan mengenai pengurusan syariah dan penguatkuasaan perundangan termasuklah cadangan untuk mendepani isu-isu berbangkit di lapangan serta parameter kawal selia penerbitan berkenaan.

“Ringkasnya, melalui majlis ini, KDN memperoleh input dan cadangan agar parameter kawal selia yang dirangka selari dengan hasrat dan misi agensi-agensi penguatkuasaan yang terlibat serta seiring dasar yang ditetapkan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja kelak.

“Lanjutan itu juga, majlis ini diharapkan memupuk jalinan kerjasama dan semangat kebersamaan antara KDN dan agensi-agensi penguatkuasaan Malaysia agar urusan kawal selia penerbitan berkenaan dapat dilaksanakan dengan tertib dan harmoni,” katanya dalam kenyataan. 

Tambah KDN, kementeriannya sekali lagi menyatakan komitmen dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam melalui tindakan penyeliaan dan kawalan terhadap penerbitan. 

Katanya, ia sama ada yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan kepentingan negara dari semasa ke semasa secara berterusan. 

“(Ia) selaras dengan peruntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.-UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN