KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemukan lemas ketika mandi di Sungai Ibai dekat Kampung Laut di sini, kira-kira pukul 5.20 petang tadi.
Mayat Tuan Muhammad Iyad Tuan Noor Marzuki dijumpai pasukan mencari dan menyelamat kira-kira 10 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas pada pukul 6.48 petang.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Yusmizan Yusof, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 5.29 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, sepasukan sembilan anggota termasuk pasukan penyelamat di air (PPDA) selain dua jentera dikerah sebelum usaha mencari dan menyelamat dilakukan bersama penduduk kampung.
“Selepas lebih sejam, mayat kanak-kanak lelaki itu berjaya ditemukan anggota PPDA di dasar sungai sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk kampung, Mohd. Hafiz Sidek, 37, berkata, dia bersama dua lagi rakan yang sedang memancing segera terjun ke dalam sungai sebaik melihat mangsa tiba-tiba lemas.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa sedang mandi seorang diri manakala tiga kawan mangsa pula sedang memancing hanya beberapa meter dari situ.
“Sebelum ketibaan pihak bomba, saya bersama dua orang lagi terjun ke dalam sungai malah ada penduduk mengambil langkah melempar jala bagi menyelamatkan kanak-kanak itu.
“Namun usaha kami gagal kerana keadaan air ketika itu berselut menyukarkan pandangan malah terdapat pusaran air yang deras di dasar menyebabkan usaha mencari memakan masa lebih sejam.
“Kawasan ini memang jadi tumpuan kaki pancing namun saya tidak sangka akan berlaku kejadian sebegini apatah lagi saya mengenali keluarga mangsa terutama arwah ayahnya,” katanya. – UTUSAN