PUTRAJAYA: “Kami sudah rancang untuk bertunang tahun depan tetapi tidak menyangka Allah SWT lebih menyayanginya,” kata Farah Atikah Bakti, 24, teman wanita kepada arwah Faris Haziq Abu Bakar.
Faris Haziq antara dua yang maut dalam nahas 14 kenderaan di Jalan Persiaran Utara, di sini pagi semalam yang turut mengorbankan penjawat awam di Mahkamah Ampang, Yuswar Mohd Uyus, 39 tahun.
Farah Atikah ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Putrajaya hari ini berkata, dia sudah mengenali arwah seorang kakitangan Pos Malaysia itu sejak lima bulan lalu melalui laman sosial Facebook dan menyifatkan arwah sebagai seorang yang suka bergurau.
“Kami sudah sepakat untuk melangsungkan majlis pertunangan tetapi selepas selesai majlis pernikahan kakak arwah, Fatin Hamimi, 27, yang dijadual 29 Oktober ini,” katanya.
Katanya, kali terakhir dia berhubung dengan arwah pukul 9.50 pagi semalam, malah arwah juga tidak menghubunginya pada pukul 12 tengah hari semalam seperti yang biasa dilakukan setiap hari.
Farah Atikah yang juga jururawat di Hospital Putrajaya berkata, dia mengetahui arwah maut dalam nahas itu kira-kira pukul 6 petang semalam selepas dimaklumkan kakak arwah.
“Ketika bertugas, saya mula siasat siapa yang maut dalam nahas itu kerana mayat akan dibawa ke hospital ini. Ketika itu, saya hanya dapat tahu identiti seorang lagi mangsa.
“Saya dapat tahu arwah terbabit nahas selepas melihat video sistem rakaman litar tertutup (CCTV) nahas itu. Saya dapat cam itu motor dia (arwah),” katanya.
Katanya, arwah juga sangat suka bergurau, malah pernah bergurau dengannya terbabit dalam kemalangan minggu lalu.
Sementara itu, ibu arwah, Mazlina Mansor, 56, berkata, dia kali terakhir bertemu arwah pagi semalam sebelum arwah keluar bekerja di Pejabat Pos Malaysia USJ.
“Saya sempat pesan kepadanya jangan bawa motor laju dan tidak memotong lori. Arwah juga suka keluar awal ke tempat kerja dan biasa akan keluar pukul 10 pagi jika masuk kerja pukul 2 petang.
“Faris seorang yang sangat baik dan suka tolong kawan-kawan. Arwah juga suka membawa kami jalan-jalan.
“Malah, arwah juga suka bawa kami menonton perlawanan bola sepak kerana dia juga adalah penyokong tegar pasukan bola sepak Selangor,” katanya.
Jenazah arwah selesai proses bedah siasat sekitar 12.45 tengah hari tadi dan terus dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Sungai Lalang, Semenyih untuk dikebumikan. – UTUSAN