PETALING JAYA: Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar tampil memberi penjelasan mengenai sama ada perlunya melafaz kalimah ‘Wallahi Wabillahi Watallahi’ ketika mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.
Wan Junaidi berkata, peruntukan angkat sumpah oleh Ahli Parlimen telah sedia dinyatakan di dalam Jadual Keenam di bawah Artikel 59(1) Perlembagaan Persekutuan dan tidak pernah menggunakan kalimah tersebut.
“Kalimah penyataan sumpah kalimah ‘Wallahi Wabillahi Watallahi’ hanya disebut di dalam penyataan angkat sumpah oleh Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong seperti yang dinyatakan di dalam Jadual Keempat.
“Seperti yang dijawab oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, penyataan sumpah ini adalah mengikut Peraturan Mesyuarat 5 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang menyatakan bahawa sumpah yang hendak dilafazkan hendaklah mengikut seperti yang disebutkan dalam Jadual Keenam dalam Perlembagaan Persekutuan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim meminta penjelasan berhubung kalimah ‘Wallahi, Wabillahi Watallahi’ yang tidak dilafazkan oleh Suhaizan Kayat ketika mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat.
Wan Junaidi yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berharap dengan perkongsian yang beliau berikan itu dapat memberi maklumat jelas kepada Ahli Parlimen dan orang awam.
“Oleh yang demikian saya berharap agar penerangan dan perkongsian saya ini dapat memberikan maklumat yang jelas kepada Ahli Parlimen serta orang awam yang telah menyaksikan sidang perbahasan Dewan Rakyat tersebut di media elektronik dan internet,” katanya.
Untuk rekod, Suhaizan menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Pulai yang baharu selepas meraih majoriti 18,641 undi semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini, secara langsung menggantikan Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada Julai lalu. – UTUSAN