PASIR SALAK: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menasihatkan rakyat supaya tidak panik dengan dakwaan kekurangan bekalan beras tempatan dalam pasaran.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kebimbangan rakyat hingga menyebabkan berlaku pembelian panik, tidak sewajarnya terjadi kerana bekalan makanan ruji utama rakyat di negara ini masih ada.
Sehubungan itu katanya, pengguna dinasihatkan untuk membeli barangan tersebut mengikut keperluan keluarga.
“Beras ada (dalam pasaran), cuma jika perlu beli dua kampit sebulan maka beli dua kampit, bulan depan beli lagi. Ini bila baca blog (dakwaan beras kurang), mula cemas dan anggap dua ke tiga bulan lagi beras tiada, jadi mereka beli beras sampai empat ke lima kampit.
“Bila beli banyak dan simpan sampai hingga dua ke tiga bulan, beras itu pun akan rosak di makan bubuk (kutu beras) dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ladang Kekal Pengeluaran Benih Padi Felcra di Seberang Perak di sini hari ini.
Mengulas lanjut Mohamad berkata, komitmen kerajaan ketika ini adalah untuk memastikan rakyat mendapat bekalan beras mencukupi terutama menerusi inisiatif Jualan Rahmah Beras di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).
“Dengan pembelian (ikut keperluan), dapatlah kita kawal di pasaran, Fama, LPP dan KPDN yang terlibat dalam jualan beras Rahmah dapat mainkan peranan untuk tambah mana-mana yang berlaku kekurangan,” katanya.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, kerajaan juga tidak berdiam diri dalam menangani isu bekalan beras tempatan dan telah merangka beberapa usaha jangka panjang bagi meningkatkan pengeluaran hasil padi negara.
Katanya, ini termasuk menambah lagi Projek Smart Sawah Berkala Besar (Smart SBB) selain menjalinkan kerjasama bersama syarikat swasta untuk projek tanaman padi di Sabah dan Sarawak serta permohonan agar pengeksportan beras putih dari India diteruskan ke negara ini.
“Bagi jangka masa panjang, kita mahu membangunkan lebih banyak sawah padi di Sabah dan Sarawak supaya pengeluaran hasil padi di sana menjadi stok yang seimbang kepada negara,” katanya.
Pada sesi lawatan kerjanya di Parlimen Pasir Salak, Mohamad diberi taklimat berkaitan kerja-kerja menaik taraf tali air sekunder TA-1, TA-2 dan TA-5 di Skim Pengairan Sungai Manik di bawah seliaan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak.
Projek yang menelan belanja RM29.66 juta itu meliputi kerja-kerja menaik taraf tali air sekunder sepanjang 19 kilometer, menaik taraf sistem pengairan dan saliran serta pembinaan jalan ladang.
Terdahulu, Mohamad turut menyampaikan bakul makanan melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) KPKM kepada 50 pesawah. – UTUSAN