PETALING JAYA: Menerima kecaman lantaran dikatakan terlalu gedik ketika mengacara Gegar Vaganza (GV) All Stars, artis versatil, Kak Lina Pom Pom membuat keputusan untuk ‘mengundurkan diri’.
Jelas pengacara popular itu, dia membuat keputusan tersebut demi menjaga hati semua pihak terutama peminat-peminat program realiti yang turut menampilkan hos bersama, Nabil Ahmad dan Jihan Muse.
“Kak Lina meletakkan kesemua kesalahan pada diri sendiri. Niat Kak Lina untuk menghiburkan tapi lain pula jadinya.
“Buat semua orang tak berminat nak tengok GV pula. Sekali lagi, Kak Lina meletakkan kesalahan pada diri sendiri.
“Selepas Kak Lina membaca kesemuanya, sudah tiba waktunya Kak Lina tidak perlu ada di pentas GV demi menjaga hati kalian dan semua pihak,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram.
Dalam pada itu, kongsi Kak Lina lagi, dia sekadar mahu menghiburkan peminat program tersebut dan tidak pernah bermaksud apa-apa yang membuatkan orang kurang gemar untuk menonton.
“Demi kebaikan semua pihak, Kak Lina tidak akan muncul lagi di GV. Minta maaf segala kekhilafan ya. Kak Lina tak bermaksud apa-apa. Memang nak menghiburkan sahaja.
“Jaga diri ya semua. Terima kasih di atas segala kemanisan yang Kak Lina rasa sebelum ini. Terima kasih banyak-banyak,” ujarnya lagi.
Mengakhiri coretan, Kak Lina turut mengumumkan posisi pengacara itu akan digantikan oleh Elly Mazlein yang juga merupakan nama asalnya dalam industri seni.
“Insya-Allah, Elly Mazlein akan mengggantikan Kak Lina di GV nanti. So, I’ll sign off,” kongsinya.
Perkongsian itu mengundang respons jenaka peminat yang menjangkakan pengacaraan lebih tertib dan lembut dari Elly Mazlein berbanding alter egonya, Kak Lina Pom Pom yang riuh dan bertenaga.-UTUSAN