Kajian SSPA: Lebih 68,000 cadangan diterima - Utusan Malaysia

Kajian SSPA: Lebih 68,000 cadangan diterima

Kajian SSPA
ANESEE Ibrahim berucap pada Sesi Libat Urus Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam bersama penjawat awam Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) menerima 68,798 cadangan daripada 31,300 responden yang menyertai Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sehingga 22 September lalu.

Pelaksanaan kajian tersebut adalah sebagai usaha jawatankuasa berkenaan mendapatkan input bagi melaksanakan perubahan dalam SSPA termasuk perubahan gred perjawatan, gaji dan sebagainya.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Dr. Anesee Ibrahim berkata, keputusan untuk melaksanakan kajian tersebut dibuat selepas tiada semakan sistem saraan secara menyeluruh dilakukan sejak tahun 2002. 

“Walau pun tiada semakan dilaksanakan dalam tempoh tersebut, namun inisiatif pemantapan dan penambahbaikan aspek saraan sentiasa dilaksanakan oleh pihak JPA secara berterusan,” katanya pada Sesi Libat Urus Kajian SSPA bersama Kakitangan Awam Selangor, hari ini.

Kerajaan melalui keputusan Mesyuarat JKK-PPA Bilangan 2 Tahun 2023 pada 7 Ogos lalu, bersetuju secara dasar untuk melaksanakan Kajian SSPA. 

“JPA akan menyiapkan laporan interim kajian dengan penekanan utama kepada kesaksamaan saraan terlebih dahulu pada akhir tahun 2023. 

“Berdasarkan unjuran garis masa yang ditetapkan, SSPA akan dilaksanakan mulai 2025 selepas semua proses kajian yang berkaitan seperti sesi libat urus, analisis, pemurnian dapatan dan akhirnya melalui proses kelulusan kerajaan,” ujarnya.

Anesee menambah, pihaknya berharap perkhidmatan awam di Selangor akan sentiasa proaktif, responsif dan sentiasa ke hadapan seiring dengan sasaran kerajaan yang selari dengan agenda Malaysia Madani dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Katanya lagi,  penambahbaikan berterusan serta sentiasa bersedia untuk berubah adalah penting untuk memastikan perkhidmatan awam kekal segar dan relevan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan secara berkesan kepada rakyat.

“JPA menjadualkan tiga bentuk sesi libat urus untuk mendapatkan input dan maklumbalas berkaitan SSPA. Pertama, melalui sesi townhall seperti sesi petang ini, kedua, melalui konvensyen peringkat Kementerian dan negeri, dan ketiga, melalui Laman Kajian SSPA,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN