SEBERANG PERAI: Kaedah imunoterapi menjadi ikhtiar terakhir dalam usaha merawat Rayyan Durrani Khairul Azhar, 12, yang menghidap penyakit ketumbuhan agresif dalam otak tahap empat.
Bapanya, Khairul Azhar Baba, 39, berkata, kaedah itu adalah sejenis rawatan yang membantu sistem imun untuk melawan sel kanser dalam tubuh anak kedua daripada lima beradik itu.
Katanya, pakar perubatan mengesahkan prosedur percubaan klinikal yang dijalankan terhadap Rayyan Durrani di Hospital Universiti Kebangsaan Seoul, Korea Selatan baru-baru ini tidak sesuai ekoran beberapa faktor.
“Susulan itu, kaedah imunoterapi yang dicadangkan ini akan dijalankan di hospital sama pada bulan depan.
“Justeru, bantuan dana sebanyak RM189,000 diperlukan bagi menampung kos rawatan Rayyan.
“Setakat ini, sumbangan terkumpul berjumlah RM157,340.51 dan kami memerlukan lagi RM31,659.49 untuk mencukupkan jumlah terbabit,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, kesihatan Rayyan Durrani semakin baik susulan saiz tumornya semakin mengecil kepada 2.4 sentimeter berbanding 6.9 sentimeter hasil rawatan radioterapi.
“Selagi Rayyan mampu bertahan, kami akan berusaha untuk memastikan dia menerima rawatan terbaik.
“Terima kasih kepada semua penyumbang yang membantu dan menitipkan doa serta kata-kata semangat buat kami sekeluarga,” katanya.
Bulan lalu, akhbar melaporkan mengenai nasib murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor itu yang menghidap ketumbuhan agresif atau Paediatric Type Diffuse Midline Glioma (DMG) tahap empat yang tergolong dalam penyakit jarang jumpa (rare disease).
Selain itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang telah menyumbangkan RM131,409.06 manakala Masjid Jamek Jelutong turut menyerahkan kutipan dana berjumlah RM25,931.45.
Kutipan dana menerusi Masjid Jamek Jelutong masih berlangsung sehingga 15 September ini.
Susulan itu, sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Bank Rakyat 1100608845 atas nama Masjid Jamek Jelutong rujukan ‘Sumbangan Adik Rayyan’. – UTUSAN