Kad debit, kad kredit prabayar boleh bayar tol di 11 lebuh raya

Kad debit, kad kredit prabayar boleh bayar tol di 11 lebuh raya

ALEXANDER Nanta Linggi menggunakan kad debit sebagai alternatif baharu membayar tol pada Pelancaran Pelaksanaan Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT) di Plaza Tol Loke Yew, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengguna lebuh raya kini boleh menggunakan kad debit, visa atau Mastercard untuk membayar tol di 11 lebuh raya berkuat kuasa, semalam.

Selain kaedah pembayaran sedia ada iaitu menggunakan kad Touch ‘n Go, Smart Tag dan Radio Frequency Identification (RFID), pengguna kini mempunyai pilihan menggunakan kad debit, kredit prabayar yang mempunyai logo MyDebit, Visa atau Mastercard.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, usaha tersebut bagi memudahkan pengguna melakukan pembayaran apabila buat permulaan 11 lebuh raya menyertai sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT).

“Objektif (SPT) adalah memudahkan pengguna membuat pilihan. Kalau terhad kepada satu (atau) dua sistem sahaja mungkin kadangkala dalam satu kad bakinya (untuk membayar) tidak mencukupi.

“Jadi sekarang (pengguna) sudah ada pilihan, ini boleh dikatakan sebagai langkah-langkah awal. Sebab kita ada satu lagi perancangan untuk melaksanakan Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) bagi memudahkan pengguna,” katanya dalam sidang akhbar di di Plaza Tol Loke Yew, Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), di sini semalam.

11 lebuh raya yang menyertai SPT ialah Besraya, Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP) dan Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT).

Selain itu, Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (Smart), Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX), Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (Duke) dan Lebuhraya Kulim – Butterworth (BKE).

Sementara itu, pelaksanaan SPT di Jambatan Pulau Pinang (JPP) bermula hujung tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Alexande berkata, melalui peruntukan Belanjawan 2024 yang dibentang pada 13 Oktober ini, beliau berharap terdapat penambahan kementeriannya daripada jumlah yang diperoleh sebelum ini.

“Lebih-lebih lagi kerja-kerja penyelenggaraan di lebuh raya. Selama ini kita banyak backlog iaitu kerja-kerja yang kita tidak dapat dilaksanakan kerana kekangan kewangan. Jadi (hal) ini kami telah angkat dan tegaskan kepada Kementerian Kewangan.

“Kerja-kerja penyelenggaraan lebuh raya ini penting, kita tak nak (dan) elakkan (daripada kes) kehilangan nyawa oleh kerana ada lubang jalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN