PETALING JAYA: Tidak hanya berita perkahwinan pelakon Imran Aqil dengan pempengaruh, Dahlia Rizal menjadi tular. Turut sama rancak diperkatakan ialah solekan yang dikenakan Dahlia di malam pernikahannya yang diadakan pada Sabtu.
Menurut jurusolek yang dikenali sebagai Yaya itu, tatarias yang dikenakan kepada isteri pelakon tersebut tidak pernah dilakukannya kepada mana-mana individu sekalipun.
Kerana kulit Dahlia tergolong dalam kategori ‘tiada cela’, maka Yaya tidak menggunakan bedak asas bagi melengkapkan ‘natural look’ berkenaan.
“Saya memang berkali-kali menjadi jurusolek Dahlia untuk beberapa sesi fotografi. Oleh itu dia memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi jurusolek majlis istimewanya.
“Oleh itu, saya cuba tampilkan solekan yang berbeza agar tidak sama dengan ‘look’ yang pernah dikenakannya sebelum ini.
“Betul, saya tidak memakaikan bedak asas, sekadar skintint. Kulitnya sedikit kering, jadi saya tidak mahu mengambik risiko mengenakan bedak asas bagi mengelak solekannya merekah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Proses solekan mengambil masa sehingga satu jam setengah. Namun begitu Yaya merahsiakan jumlah sebenar kos solekan berkenaan dan hanya memberi bayangan tidak lebih daripada RM3,000.
“Ada yang memilih jurusolek dari luar negara untuk majlis istimewa mereka.
“Namun sebenarnya di Malaysia, kita ada banyak jurusolek berbakat yang juga tidak kurang hebatnya. Kita ada ramai yang bagus-bagus, tinggal kita sahaja yang rajin untuk cari,” kata Yaya.
Sejak gambar solekan Dahlia menjadi tular, Yaya bersyukur kerana tidak putus-putus menerima tempahan solekan yang menginginkan tatarias serupa.
“Alhamdulillah, rezeki.
“Selepas gambar pernikahan Dahlia tular, saya terima banyak tempahan yang inginkan look yang sama. Sejak malam tadi telefon saya tak berhenti berbunyi,” katanya.
Untuk rekod, Imran Aqil dan Dahlia Rizal selamat menjadi suami isteri dengan hanya satu lafaz. Dalam majlis tertutup yang diadakan di Ayer Keroh, Melaka, Imran menyerahkan mas kahwin sebanyak RM 300 selepas mengingat tali pertunangan Ogos tahun lalu.