Jualan Rahmah Bergerak: 300 ekor ayam RM1 habis dalam sejam - Utusan Malaysia

Jualan Rahmah Bergerak: 300 ekor ayam RM1 habis dalam sejam

FUZIAH Salleh (tengah) menunjukkan ayam berharga RM1 seekor yang dijual dalam Program Jualan Rahmah Bergerak (PJRB) peringkat negeri Perak di Gopeng hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG: Tidak sampai sejam, 300 ekor ayam berharga RM1 seekor habis dijual dalam Program Jualan Rahmah Bergerak (PJRB) peringkat negeri Perak di sini hari ini.

Lebih 500 penduduk sekitar memenuhi kawasan Dewan Bandaran Gopeng sejak pukul 8 pagi bagi mendapatkan pelbagai barangan jualan Rahmah yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh.

Fuziah menyatakan rasa gembira apabila jualan Rahmah secara bergerak itu dapat diperluaskan ke merata kawasan sejak mula diperkenalkan pada Jun lalu.

Menurutnya, kaedah jualan tersebut membolehkan barangan jualan Rahmah sampai terus kepada rakyat khususnya di kawasan pendalaman dan berpendapatan rendah.

“Saya menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen untuk mengenal pasti di mana kawasan yang ingin dibawa kedai yang cari rakyat ini, kerana Yang Berhormat sendiri yang tahu di mana kawasan kampung, kumpulan B40 dan kawasan kos kawasan rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan PJRB dan Aduan Suri di sini hari ini.

Menurutnya, sejak dilancarkan pada 16 Jun lalu, PJRB telah melibatkan sebanyak 575 kawasan di seluruh negara.

Katanya, sehingga kini sebanyak 129 Program Jualan Rahmah telah dilaksanakan di kesemua 24 kawasan Parlimen serta 59 kawasan DUN Perak dan telah memberi manfaat kepada lebih 160,000 orang dengan jumlah jualan melebihi RM3 juta.

Dalam program sama Fuziah yang turut melancarkan Aduan Suri iaitu kemudahan kepada rakyat untuk membuat sebarang aduan kepenggunaan dengan hanya mengimbas kod QR

“Fokus utama adalah kepada suri rumah yang sering berurusan dengan pembelian barangan keperluan dan berdepan masalah kenaikan harga dan kekurangan bekalan,” katanya.

Sejak Aduan Suri dilancarkan pada 12 Januari 2023 sehingga 31 Ogos lalu, sejumlah 9,908 aduan diterima dengan kategori berkaitan transaksi dalam talian adalah yang tertinggi iaitu sebanyak 3,028 aduan.

Ini diikuti dengan aduan berkaitan harga sebanyak 2,473 aduan, perkhidmatan yang mengelirukan sebanyak 1,555 aduan dan selebihnya bagi pelbagai kategori iaitu sebanyak 2,852 aduan.

Fuziah mengingatkan peniaga agar tidak meletakkan pembelian bersyarat ke atas apa jua jualan barangan kawalan kepada pembeli.

“Sebagai contoh, sekiranya pengguna ingin membeli barangan kawalan, peniaga meminta pengguna membeli barangan lain terlebih dahulu sebelum dapat membeli barangan kawalan.

“Tindakan tegas telah diambil dengan penghasilan kes di dua buah negeri iaitu Perak dan Kelantan kerana mengenakan pembelian bersyarat bagi pembelian barangan kawalan iaitu gula dan minyak masak. Sejumlah tujuh kes telah dihasilkan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Kata beliau, sekiranya disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta itu, boleh dikenakan penalti seperti didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi mana-mana orang perseorangan

Bagi pertubuhan perbadanan katanya, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan yang kedua didenda tidak melebihi RM5 juta, kata timbalan menteri itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya