JPN mohon tidak sensasikan isu wanita tiada kad pengenalan

JPN mohon tidak sensasikan isu wanita tiada kad pengenalan disuarakan Syed Saddiq 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memohon kepada orang ramai supaya tidak mensensasikan isu kesukaran seorang wanita mendapatkan kad pengenalan seumur hidupnya seperti yang disuarakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

JPN dalam kenyataan berkata, memainkan isu tersebut dikhuatiri memberi tanggapan buruk dan tidak benar dalam perkhidmatan awam sedangkan pihaknya sentiasa tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan undang-undang bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan negara terjamin.

Oleh itu, katanya, JPN telah menghubungi wanita berkenaan untuk mendapatkan fakta kes mengenai permohonan sebenar dan penelitian sewajarnya sedang dibuat.

“JPN memohon agar orang ramai tidak mensensasikan perkara ini dan seterusnya memberikan tanggapan yang tidak benar kepada perkhidmatan kerajaan.

“Orang ramai yang mempunyai masalah bukan sahaja mengenai kewarganegaraan namun pelbagai perkhidmatan lain seperti pendaftaran lewat kelahiran, masalah cap ibu jari, sijil pengangkatan anak angkat, prosedur perkahwinan bukan Islam dan lain-lain boleh hadir terus ke mana-mana 212 pejabat JPN di seluruh Malaysia untuk dibantu.

“Pemohon dinasihatkan hadir sendiri tanpa menggunakan khidmat ejen atau orang tengah kerana setiap permohonan dan masalah individu mungkin memerlukan penyelesaian berbeza,” katanya hari ini.

Semalam, Syed Saddiq yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam kenyataan berkongsi kisah seorang wanita dinamakan ‘Melissa’ yang dilahirkan di Pulau Pinang dan fasih berbahasa Melayu namun tidak mempunyai kad pengenalan warna biru di usia 21 tahun.

Perkongsian itu mendapat perhatian banyak pihak di media sosial dan mendapat hampir 1,000 perkongsian pengguna di Facebooknya.

Katanya, walaupun wanita itu mempunyai sijil lahir dan tertera status warganegara dan nombor kad pengenalan, namun dia terpaksa berdepan situasi tidak dapat mewakili negerinya dalam acara Gimnastik Berirama di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak pada 2013 kerana tiada kad pengenalan.

Katanya, wanita itu juga lulus dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan mendapat gred A dalam matapelajaran Bahasa Melayu namun tidak dapat meneruskan persekolahan di peringkat menengah akibat masalah sama.

“Saya sedih sebab beliau dinafikan hak pendidikan. Jadi beliau ambil keputusan untuk kerja. Umur 14 tahun sudah kena jual nasi lemak tepi jalan dan jual bunga orkid, jual aiskrim Malaysia 20 sen dan macam-macam lagi untuk sara diri.

“Saya percaya hingga ke hari ini kita masih mempunyai banyak kes seperti Melissa. Di Muar sendiri ada pakcik dan makcik yang sudah hidup berpuluh-puluh tahun, duduk di Malaysia sebelum merdeka lagi juga masih tidak ada kad pengenalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya