JPJ sita kenderaan berat lebih muatan berlandaskan prosedur akta

JPJ sita kenderaan berat lebih muatan berlandaskan prosedur akta

KENDERAAN berat membawa lebih muatan atau berbahaya adalah berisiko kepada kemalangan maut akibat kegagalan fungsi brek. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita kenderaan berat lebih muatan berlandaskan prosedur akta sedia ada di bawah jabatan berkenaan.

JPJ dalam kenyataan berkata, sitaan dilakukan berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Katanya, kenderaan berat membawa lebih muatan atau berbahaya adalah berisiko kepada kemalangan maut akibat kegagalan fungsi brek dan kegagalan teknikal kenderaan di samping mengakibatkan kerosakan jalan raya menjadi punca kemalangan kepada kenderaan lain.

“Tindakan diambil dibawah Seksyen 57 dan Seksyen 80 (Akta 715),” kata kenyataan itu hari ini.

Maklum balas JPJ itu susulan keluhan sekumpulan pemandu kenderaan berat buntu selepas lori-lori milik mereka masih belum dilepaskan daripada sitaan JPJ sejak sembilan bulan lalu hingga menyebabkan masing-masing terus hilang punca pendapatan.

JPJ menegaskan, keputusan kes bagi tindakan ini adalah tertakluk kepada bidang kuasa pihak mahkamah.

Malah, pihak berkuasa itu menjelaskan, kenderaan berat tersebut dikesan membawa lebih muatan bukan sekadar 10 hingga 20 peratus tetapi melebihi 70 hingga 140 peratus.

Jelasnya, kenderaan berat yang dilesenkan untuk membawa muatan adalah tidak dibenarkan melebihi had berat mengikut kapasiti teknikal ditetapkan.

“Justeru, pihak syarikat pengangkutan terlibat dinasihatkan untuk memohon dan menyelesaikan perkara tersebut berdasarkan prosedur yang ditetapkan di bawah Seksyen 57 dan Seksyen 80 (Akta 715) dengan pihak mahkamah,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu, JPJ sentiasa memikul amanah dalam menguatkuasakan undang-undang dan peraturan jalan raya serta tidak berkompromi dengan mana-mana pihak dalam penguatkuasaan undang-undang jalan raya bagi mengurangkan risiko kemalangan dan kehilangan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

JPJ turut menyeru agar semua pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya serta bekerjasama ke arah mengurangkan bilangan kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.

Terdahulu, media melaporkan keluhan sekumpulan pemandu kenderaan berat itu yang turut mendakwa mereka telah pun melangsaikan kompaun atas kesalahan membawa lebih muatan.

Kumpulan terbabit turut mendakwa, ada pemilik lori sudah dikenakan senarai hitam oleh pihak bank kerana gagal membayar ansuran bulanan kenderaan hingga mencecah RM6,000 sebulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya