Jongkong emas alumni UniSZA dilancar - Utusan Malaysia

Jongkong emas alumni UniSZA dilancar

MOHD. Hafiz Yusuf (dua dari kanan) menunjukkan jongkong emas Alumni UniSZA edisi terhad yang dilancarkan di UniSZA, Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama KAB Goldynamics Sdn. Bhd. melancarkan jongkong emas alumni UniSZA edisi terhad sempena sambutan Hari Alumni UniSZA 2023, di sini, hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniSZA, Datuk Prof. Madya Mohd. Hafiz Yusoff berkata, sebanyak 500 unit emas edisi terhad itu dilancarkan untuk menjadi koleksi peminat emas dan sebagai kenangan kepada alumni dan warga UniSZA sendiri.

Menurutnya, kerjasama tersebut bukan sahaja dapat memberi impak positif kepada UniSZA, malah turut membuka ruang kepada semua orang untuk memiliki jongkong emas edisi terhad kali ini.

“Jongkong emas ini juga boleh dijadikan hadiah dan honorium bagi fakulti yang mengadakan seminar mahupun program universiti.

“Paling istimewa kerana jongkong emas ini mempunyai logo UniSZA sendiri berbanding jongkong emas lain yang dikeluarkan oleh KAB Goldynamics,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian sambutan Hari Alumni UniSZA dan pelancaran jongkong emas Alumni UniSZA 2023 di UniSZA Kampus Gong Badak, di sini, hari ini.

Mohd. Hafiz Yusoff berkata, jongkong emas seberat 0.5 gram yang berharga RM190 itu boleh didapati secara dalam talian di laman web KAB Goldynamics dan penghantaran adalah secara pos atau boleh diambil sendiri di KAB Goldynamics.

Mengulas lanjut, beliau berkata, UniSZA memilih emas kerana ia adalah simpanan dan aset terbaik bagi jangka masa panjang.

“Sekiranya mendapat sambutan memberangsangkan, kita akan mewujudkan lagi kerjasama seumpama ini dengan jongkong emas edisi berlainan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN