JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor memperuntukkan RM78 juta bagi melaksanakan kerja-kerja naik taraf melibatkan infrastruktur di 100 lokasi titik panas di kesemua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, Johor Bahru dikenal pasti sebagai daerah dengan titik panas banjir terbanyak iaitu 19 lokasi.
Menurut beliau, kerja-kerja naik taraf yang dilakukan turut mengambil kira langkah pencegahan banjir jangka masa pendek atau panjang, bergantung kepada keadaan.
“Tahun lepas, kita sudah gerakkan kesemua PBT untuk kenal pasti lokasi banjir di kawasan mereka, termasuklah kawasan banjir kilat. Jadi, kita peruntukkan RM78 juta untuk ambil langkah-langkah pencegahan.
“Langkah itu termasuklah menaik taraf dan selenggara infrastruktur seperti kawasan longkang, sungai, termasuk kolam takungan. Ada yang selesai dalam tempoh tiga atau empat bulan, ada yang lebih lama,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival UDA 2023 yang diadakan di Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Mohd. Salem Kailany berkata,
Sementara itu, Mohd. Jafni turut mengulas berhubung isu hartanah di negeri ini apabila memaklumkan kerajaan negeri mengalukan syarikat pemaju hartanah membangunkan perumahan mampu milik di negeri ini dengan kos jualan di bawah harga RM300,000 seunit.
“Sebelum ini, pemaju risau kediaman mampu milik ini tidak terjual, tetapi, kini mereka tidak perlu bimbang kerana kerajaan negeri akan bantu pasarkan hartanah tersebut, kita akan bantu jual kepada golongan sasar.
“Selain itu, kerajaan negeri juga mengadakan pertemuan dengan sejumlah 57 syarikat pemaju. Daripada pertemuan itu, kita mendapat komitmen pembinaan sejumlah 14,000 unit kediaman rumah mampu milik di seluruh negeri ini.
“Sasaran kita adalah untuk membina sebanyak 30,000 unit kediaman rumah mampu milik menjelang tahun 2026,” jelasnya lanjut.-UTUSAN