Johor, Batam tubuh kerjasama Jobat Biz, tingkat

Johor, Batam tubuh kerjasama Jobat Biz, tingkat kemampuan usahawan

Mohd. Hairi (tengah) menyantuni delegasi usahawan dari Batam dalam satu mesyuarat jalinan kerjasama antara usahawan Johor dan Batam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memperkukuh kerjasama sektor ekonomi antara kelompok usahawan di Johor dan kepulauan Batam, Indonesia.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, jawatankuasa tersebut dinamakan Johor-Batam Bisnes (Jobat Biz).

Menurut beliau, jawatankuasa itu akan meneliti serta berkongsi maklumat mengenai aspek pembangunan usahawan, penyelesaian isu tenaga kerja serta alternatif pengangkutan air yang menjadi aspek penting perniagaan rentas sempadan antara kedua-dua pihak.

“Selain membahaskan terperinci isu-isu usahawan, koperasi, dan sumber manusia dari peringkat bawah sehingga peringkat atas, semua isu berkait antara agensi di bawah portfolio saya turut dibincangkan dalam jawatankuasa ini.

“Isu-isu berkenaan pula akan dibawa ke peringkat lebih tinggi iaitu Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT). Pembentukan dasar kemudiannya akan mengambil kira kepentingan, keperluan dan sensitiviti kedua-dua kawasan iaitu Johor dan Batam,” katanya kepada pemberita dalam satu mesyuarat bersama yang diadakan di sini.

Turut hadir, wakil Walikota Batam, Hendri Arulan dan Kepala Balai Pelayanan Pelindungan Pekerja Migran Indonesia, Andrival Cakra.

Tambah Mohd. Hairi, hubungan baik antara Johor dan Batam dilihat mampu menjadi ruang dan peluang khususnya buat usahawan negeri ini meluaskan perniagaan mereka ke pasaran negara jiran.

“Pembangunan usahawan yang luas landskapnya turut berkait dengan dua lagi portfolio di bawah saya iaitu Koperasi serta Sumber Manusia yang juga menjadi agenda utama kerajaan negeri.

“Insya-Allah, kerjasama ini akan membuktikan keseriusan kedua-dua pihak dalam merealisasi matlamat serta hasrat bersama iaitu memacu ekonomi setempat serta memberi peluang kepada usahawan memperluas jaringan perniagaan mereka,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya