PUTRAJAYA: Helah seorang penumpang wanita warga Afrika cuba menyeludup dadah jenis kokain dalam tin biskut tidak berjaya apabila dia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 14 September lalu.
Wanita berusia lingkungan 40an itu ditahan kira-kira 7.15 petang sejurus tiba dari Lapangan Terbang Addis Ababa, Ethiopia.
Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Wong Puan Sian berkata, pihaknya berjaya merampas 211 kapsul mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis kokain dengan anggaran berat 4.594 kilogram (kg) bernilai RM918,000.
Beliau berkata, ketika diperiksa, mesin pengimbas mengesan objek dan imej kehijauan yang mencurigakan di dalam tiga tin biskut milk penumpang itu.
“Siasatan awal mendapati dadah itu diterima suspek dari Lapangan Terbang Addis Ababa untuk dibawa masuk ke Malaysia. Difahamkan, suspek hanyalah pembawa bukannya pengedar.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan cara menyembunyikan bahan dadah berbahaya di dalam tin biskut jenis aluminium atau besi bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Katanya, hasil usaha dan kecekapan anggota Cawangan Pemeriksaan Penumpang JKDM dalam mengawal pintu masuk negara berjaya mengesan kehadiran dadah di dalam tin biskut tersebut dengan menggunakan mesin pengimbas bagasi.
Puan Sian berkata, berdasarkan jumiah berat dadah yang diperoleh, rampasan ini berjaya membanteras daripada diedarkan kepada hampir 23,000 orang penagih dadah.
Menurutnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 398 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika disabitkan kesalahan akan dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan akan dijatuhkan hukuman sebat tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.
“Kami juga masih menyiasat sama ada dadah yang dirampas untuk kegunaan tempatan atau transit ke lokasi lain.
“Siasatan juga mendapati, suspek kali pertama tiba di Malaysia dan siasatan masih dijalankan bagi mengesan sama ada ia didalangi satu sindiket penyeludupan dadah antarabangsa,” katanya.
Katanya, pihaknya menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Taiian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri. – UTUSAN