PETALING JAYA: Pas berikrar akan mempertahankan Parlimen Kemaman dengan majoriti lebih besar sekiranya berlaku pilihan raya kecil (PRK) di kawasan tersebut.
Ketua Pemuda Pas, Fadhli Shaari berkata, perkara itu sekiranya parti mengambil keputusan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu hari ini bagi menjimatkan masa.
“Kita hormat keputusan mahkamah, terpulang kepada perbincangan di peringkat tertinggi parti untuk merayu atau tidak.
“(Tetapi) agak pelik apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri boleh umumkan peruntukan kerajaan semasa musim pilihanraya bukannya satu rasuah seperti yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) sendiri di Terengganu ketika berkempen untuk PRN (pilihan raya negeri) baru-baru ini.
“Sedangkan mahkamah memutuskan hari ini segala macam bentuk bantuan kerajaan negeri ketika kempen pilihan raya umum ialah satu bentuk sogokan yg bertujuan mempengaruhi pengundi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Fadhli menambah, beliau secara peribadi berpandangan calon BN yang paling sesuai adalah Datuk Seri Ahmad Said sekiranya berlaku PRK di parlimen berkenaan.
“Kita berlawan pulak sekali lagi,” katanya.
Terdahulu, Utusan Online melaporkan, Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh pempestiyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul.
Keputusan dibuat Charles Fernandis yang juga merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.
Dalam PRU15, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh sebanyak 65,714 undi menewaskan Ahmad yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi. Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab. Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) masing- masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340 undi. –UTUSAN