Jenazah tiga beranak dikebumi satu liang lahad  - Utusan Malaysia

Jenazah tiga beranak dikebumi satu liang lahad 

JENAZAH  tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jabur Kubur, Kemaman, awal pagi tadi. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Tiga sekeluarga termasuk bayi lelaki berusia setahun yang maut dalam kemalangan di Kilometer 154, Jalan Jerangau-Jabor dekat persimpangan Cheneh-Mak Lagam, selamat dikebumikan pada awal pagi tadi. 

Jenazah Ammir Hussein Mohamad, 38, dan dua anak lelakinya, Ammzar Husszair Al Hussein,4, dan Ammzar Hussnayan Al Hussein berusia setahun dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jabur Kubur di sini, kira-kira pukul 1.30 pagi.

Terdahulu, ketiga-tiga jenazah disembahyangkan di Surau Taman Dato, Chukai di sini, kira-kira pukul 12.15 malam selepas selesai proses bedah siasat. 

Suasana pilu dan sedih menyelubungi tanah perkuburan yang dihadiri lebih 100 ahli keluarga dan kenalan keluarga tersebut apabila ada antara mereka yang hadir turut mengalirkan air mata. 

Jenazah bayi lelaki yang didukung oleh salah seorang saudara keluarga tersebut dilihat turut diusap dan dikucup oleh beberapa ahli keluarga sebelum dikebumikan bersama abang dan bapanya. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang semalam, kenderaan Naza Citra yang dinaiki lima sekeluarga tersebut dan dipandu isterinya, Norhafizah Sazwa Harun, 38, dirempuh sebuah lori yang dikatakan mempunyai masalah brek. 

Kejadian tersebut menyebabkan Ammir Hussein yang menetap di Taman Suteramas, Mak Chili, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan di beberapa anggota badan manakala dua anaknya meninggal dunia di Hospital Kemaman. 

Difahamkan, isterinya, yang sedang mengandung dan cedera di bahagian perut telah dibenarkan pulang, sementara anak angkat mereka Ammzar Hussniah Ammir Hussein Abdul Azim, 8, dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, malam tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya