Jenazah bekas timbalan menteri, Abdullah Fadzil selamat dikebumikan - Utusan Malaysia

Jenazah bekas timbalan menteri, Abdullah Fadzil selamat dikebumikan

ISTERI Allahyarham Abdullah Fadzil Che Wan, Datin Seri Che Ezatul Hamsiah Hussin (kiri) menabur bunga di pusara suaminya pada pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Masjid Panglima Kinta di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jenazah bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Abdullah Fadzil Che Wan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Panglima Kinta, di sini hari ini.

Abdullah Fadzil, 78, yang juga merupakan bekas Orang Besar Jajajah Kinta pada tahun 2004, meninggal dunia pagi tadi di Hospital KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur.

Jenazah selamat dikebumikan pada pukul 3.15 petang.

Terdahulu, jenazah yang selesai dimandi dan dikafankan di Masjid Sungai Ramal Luar di Kajang, Selangor itu tiba di pekarangan Masjid Panglima Kinta di sini pada pukul 2.20 petang.

Jenazah kemudiannya disembahyangkan di masjid berkenaan dengan diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negeri, Abdul Farid Salleh.

Pada pengebumian itu, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah berkenan berangkat memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr. Mohd Zahidi Zainuddin; Orang Besar Jajahan Kinta, Datuk Ab Wahab Azizul Hassan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Pengebumian dihadiri lebih 200 orang terdiri dalam kalangan ahli keluarga, sahabat handai dan ketua-ketua jabatan.

Allahyarham meninggalkan balu, Datin Seri Che Ezatul Hamsiah Hussin, 77, dan Sharifah Shahrul Bariah Syed Mokhtar, 66, serta tujuh anak.

Allahyarham yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dari tahun 1993 hingga 2000 meninggal dunia pada pukul 5 pagi tadi di Hospital KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur akibat radang paru-paru.

Selain memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Pertahanan dari tahun 1995 hingga 1999, Allahyarham juga memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Luar (1987-1995) dan Ahli Parlimen Bukit Gantang (1986-2004).

Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Fizelle Che Wan , 52, berkata, bapanya dimasukkan ke hospital sejak seminggu lalu selepas mengalami demam panas selain bacaan oksigennya menurun.

Katanya, pemeriksaan x-ray yang dijalankan ke atas Allahyarham juga mendapati terdapat jangkitan pada paru-paru menandakan pneumonia atau radang paru-paru.

“Allahyarham dimasukkan ke High Dependency Unit (HDU) selama dua hari dan keadaannya dilihat semakin baik namun takdir Allah lebih menyayanginya (meninggal dunia hari ini),” katanya.

Menurut Fizelle, bapanya yang menghidap demensia sejak lapan tahun lalu pernah menyuarakan hasrat untuk dikebumikan di negeri kelahirannya di sini.

“Sebelum bapa sakit lagi, dia sudah menyatakan hasrat, jika apa-apa terjadi kepada dirinya, dia mahu dipulangkan ke ‘ganggang’ kerana Masjid Panglima Kinta ini adalah milik keluarganya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya