KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Ke-15 Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi akan memanggil Peguam Negara bagi menjelaskan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuahnya.
Pengerusinya, William Leong Jee Keen berkata, satu laporan akan dibentang kepada Dewan Rakyat sebaik sahaja selesai prosiding jawatankuasa itu nanti.
“Saya akan panggil kedua-dua Peguam Negara (Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh dan Tan Sri Idrus Harun (bekas Peguam Negara) untuk memberi penjelasan.
“Jawatankuasa akan bentangkan laporan selepas siasatan dibuat,” kata Ahli Parlimen Selayang itu ketika bangun mencelah semasa sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dilaporkan meminta sidang khas Dewan Rakyat ditangguh mengikut Perkara 18 (1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat.
Ia berhubung permohonan penjelasan daripada Peguam Negara mengenai keputusan penarikan balik 47 pertuduhan ke atas Ahmad Zahid.
Katanya, usul itu adalah perkara tertentu kerana Dewan Rakyat berhak mengetahui perincian dan asas keputusan itu, kerana Timbalan Perdana Menteri adalah seorang anggota pentadbiran kanan Kerajaan Persekutuan dan Ahli Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul telah menolak usul tergemparnya, namun, tidak memberitahu alasan-alasan menolak usul itu daripada dibahas.
Pembangkang semalam mendakwa Johari tidak mengotakan janjinya yang sebelum itu mahu ‘memberi ruang’ untuk berbincang mengenai usul tergempar Wan Ahmad Fayhsal ketika Johari sendiri telah memberitahu akan memberi peluang itu semalam.
Bagaimanapun, ia tidak seperti yang digambarkan apabila mesyuarat Dewan Rakyat terus berakhir selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai membentangkan KSP RMK12, malah, tiada ruang langsung untuk meneruskan rancangan sebelumnya (usul berkenaan Ahmad Zahid). – UTUSAN