BERKAT platform penstriman TikTok, nama Rizky Febian meledak sehingga dikerumuni di lapangan terbang semasa kehadirannya untuk konsert perdananya di Malaysia tahun lalu.
Sejak pagi, peminat mula beratur untuk berdiri paling hadapan di konsert penyanyi berdarah Sunda berkenaan selain trending di laman sosial sehari kemudian.
Rizky terpaku, bahkan sehingga sekarang penyanyi Kesempurnaan Cinta itu tidak menyangka magis muziknya berjaya menerobos ke hati peminat antarabangsa seperti Malaysia, Brunei dan Singapura. Berkat sokongan peminat Malaysia, Rizky hadir untuk konsert keduanya di Malaysia November nanti sekali gus mempromosikan buah tangan terbaharunya, Berona.
“Sebenarnya ada suatu masa industri hiburan Indonesia dipenuhi dengan trend lagu-lagu balada, galau. Namun saya tetap membawakan alunan muzik yang berentak pop dan ‘rhythm and blues’.
“Saya menghabiskan masa empat tahun setengah untuk lagu-lagu saya diterima. Sejak album pertama, saya tetap setia dengan genre muzik serupa bagi menciptakan ‘music signature’ seorang Rizky Febian.
“Selepas pandemik, lagu Makna Cinta dan Cuek mula mendapat perhatian banyak orang dan orang mula mengenal lagu-lagu yang saya bawakan,” katanya ketika ditemui Hits baru-baru ini.
Sejak bergerak secara independen di bawah labelnya sendiri, RFAS Music, penyanyi itu bebas menuangkan kreativitinya di dalam setiap muzik yang diciptakan.
Menerusi album Berona yang mempertaruhkan 10 lagu, Rizky terlibat secara langsung dalam semua proses penciptaan termasuk menghasilkan lagu, suntingan, pemilihan konsep dan poster promosi.
Bukan itu sahaja, walaupun inspirasi pembikinan album barunya datang daripada perasaan cinta kepada tunangnya, Mahalini Raharja. Rizky memastikan lirik yang disampaikan bersifat universal dan boleh dihayati oleh banyak orang tanpa mengira situasi.
“Kali ini saya sendiri yang menjadi pengarah muzik untuk album saya. Saya orang yang sangat cerewet. Bahkan selepas temu ramah ini, saya akan pulang ke Indonesia dan merancang bahan untuk persembahkan konsert saya di Malaysia nanti.
“Aturan muzik, senarai persembahan dan visual yang bakal dipamerkan saya akan turut ikut campur. Ini kerana saya yang bakal berada di panggung. Sejujurnya ia proses yang membahagiakan.
“Jika ditanya dimanakah saya dapat kebahagiaan selain Mahalini, jawapan saya ialah semasa bernyanyi dan persembahan saya didengarkan oleh banyak orang,” katanya yang bakal tampil di Megastar Arena, Kuala Lumpur, 3 November ini.
Pesan arwah ibu, jangan sombong
Jika seseorang sudah mendapatkan sedikit populariti, mudah mereka untuk mereka lupa diri. Namun Rizky selalu mengenang pesanan yang dititipkan arwah ibunya, Lina Jubaedah untuk selalu merendah hati.
“Ketika dari awal sampai sekarang, saya tidak pernah berasa sudah hebat. Ayah saya juga di dunia hiburan dan melarang saya melakukan pelbagai hal kerana industri hiburan sangat sensitif.
“Arwah ibu juga selalu pesan, kejayaan kita tidak akan berjalan baik jika kita tidak menghormati orang lain. Sampai detik ini selalu saya tanamkan dalam diri untuk tidak sombong,” ceritanya.
Bercerita lanjut tentang arwah ibu, dia rindu untuk memeluk dan bercerita kepada ibunya tentang impiannya. Kini, walaupun impiannya untuk menebusi pasaran muzik Malaysia sudah tertunai, sayangnya ibunya sudah tiada.
“Dulu saya akan peluk mama dan cerita tentang semua impian saya. Ajaibnya, seminggu kemudian pasti ada jalan dan cara untuk impian itu terkabul.
“Saya di sini hari ini bukan kerana bakat, tapi kerana saya berusaha untuk taat kepada orang tua dan doa mereka,” katanya.