KUALA LUMPUR : Bagi menghargai hasil seni anak tempatan, Manggis Group nekad melakukan inisiatif untuk menghidupkan sebuah lorong di Taman Melawati dengan menamakannya sebagai Jalan Negara Kita.
Usaha itu dilakukan bersama komuniti setempat sebagai satu daripada lokasi istirehat yang diisi dengan pelbagai program seni rakyat melibatkan masyarakat sekitar termasuk mana-mana pihak yang berkongsi hasrat untuk membudayakan kesenian.
Menurut Pengasas Manggis Group, Nazura Zahian Rahime, usaha itu juga dilakukan sempena meraikan ulang tahun ke-20 Manggis Group selain menyuntik semangat cintakan seni rakyat di kalangan masyarakat terutama anak-anak muda.
“Lorong seni dengan nama Jalan Negara Kita ini diwujudkan sebagai hub bagi membina pembangunan program kreatif yang konsisten setiap bulan dengan menampilkan kumpulan seni rakyat, busking, pelakon, penulis dan penggiat seni jalanan.
“Malah, antara cadangan aktiviti komuniti seperti tarian, nyanyian, permainan rakyat, malam puisi dan riadah santai yang sesuai semua peringkat usia juga turut kami galakkan dilakukan di sini.
“Boleh dikatakan, pembukaan Jalan Negara Kita ini sebagai tempat berkumpul bagi semua penggiat seni pelbagai bidang tidak kira golongan veteran mahupun pendatang baru bertukar-tukar idea dan pendapat disamping memberi nafas baru kepada cabang seni yang ada,”katanya.
Selain itu, kata Nazura, idea asal daripada Manggis Group itu juga timbul berikutan pembukaan pameran ekperiential Rahmat Bahagia anjuran A.P Art Gallery Manggis Group yang dikurasikan oleh Tuan Anderson Ee.
“Pameran ini menyajikan aktiviti seni kemasyarakatan dan barangan lama yang menggamit memori serta nostalgia zaman dahulu.
“Daripada situlah, timbul idea menghidupkan lorong di sebelah galeri ini untuk kita adakan aktiviti seni dan tempat berkumpul sambil menikmati kopi dari kafe seni, Folk Kofii,” katanya.
Jelas Nazura, pihaknya amat berbesar hati dan terbuka untuk berkerjasama dengan mana-mana agensi, korporat dan Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya untuk mengangkat Jalan Negara Kita sebagai ruang budaya.
Malah, beliau percaya inisiatif tersebut dapat menyemarakkan lagi kecintaan terhadap seni dan lokasi pelancongan baharu.
“Kami juga menjemput artis grafiti untuk datang ke Jalan Negara Kita dan berkarya untuk kita lebih menghidupkan suasana disini.
“Pelbagai aktiviti telah kami rancang dan aturkan untuk galeri dan lorong ini dan kami mengharapkan sokongan semua pihak datang ke sini menyokong usaha kami,”katanya.
Sebagai tambahan, pemeran Rahmat Bahagia ini masih berlangsung sehingga 30 September 2023 untuk pengunjung melihat lukisan dalam bangunan 3 tingkat dan diakhiri dengan Kopi Percuma dan Biskut Kering Gula yang mencetuskan memori silam.