Jalan baharu jadi trek mat rempit

Jalan baharu jadi trek mat rempit

MOHD Syukur Jalinu menunjukkan Jalan Meru Raya-Klebang yang kurang papan tanda dan bonggol jalan di Ipoh. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penduduk taman perumahan di Jalan Meru Raya-Klebang di sini, bimbang dengan keselamatan mereka apabila jalan baharu di kawasan rumah mereka menjadi ‘litar’ bagi mat rempit berlumba motosikal pada sebelah malam.

Pengerusi Taman Chepor Idaman, Mohd. Syukur Jalinu berkata, jalan yang dibuka kepada pengguna baru-baru ini menjadi tempat remaja berkumpul dan berlumba motosikal kerana ia baharu, diterangi lampu, lurus serta tiada bonggol.

Katanya, keadaan itu juga menyebabkan kenderaan lain memandu laju di kawasan tersebut.

“Kami bimbang dengan keselamatan, kenderaan yang melalui jalan ini kebanyakannya laju-laju selain ada kumpulan remaja yang mungkin berusia di bawah umur berlumba motosikal.

“Baru-baru ini berlaku kemalangan akibat sebuah kereta cuba mengelak motosikal yang ditunggang laju, mujur tidak melibatkan kemalangan jiwa,” katanya di sini semalam.

Mohd. Syukur berkata, sehubungan itu pihak berkuasa diminta memantau kawasan tersebut dan membuat penambahan papan tanda serta membina bonggol jalan.

“Jika ada bonggol, kenderaan akan perlahan dan tidaklah membahayakan nyawa pengguna lain.

“Di sini kurang papan tanda untuk memberi amaran kepada pemandu supaya memperlahan kenderaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Meru Perdana 2, Mohd. Nazri Mohd. Ariff meminta Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk memeriksa spesifikasi jalan tersebut.

Menurutnya, jalan baharu itu terdapat banyak simpang tetapi tiada bonggol jalan.

“Kami nak minta MBI buat bonggol jalan supaya pengguna boleh memperlahan kenderaan mereka. Sejak jalan baharu ini dibuka, sudah empat atau lima kemalangan berlaku, walaupun ia bukan kemalangan maut tapi melibatkan kecederaan parah kepada mangsa,” katanya.

Jalan Meru Raya-Klebang menghubungkan Lebuh Chepor Utama 2 dengan Lebuh Klebang Putra dibuka pada Ogos lalu.

Pembinaan jalan bernilai RM7.2 juta itu bagi memendekkan jarak perjalanan dari kawasan Meru Raya ke Klebang. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya