PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar Festival Budaya@Putrajaya 2023 yang diadakan buat julung kali di Dataran Putrajaya malam ini dimasukkan dalam kalendar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebagai acara tahunan negara.
Ketika berucap merasmikan festival itu, Anwar turut menzahirkan penghargaan dan memuji penganjuran acara yang berlangsung sejak Khamis lalu dan berakhir esok.
“Oleh kerana saya lihat (persembahan) hebat malam ini, mungkin saya akan cadangkan supaya acara Festival Budaya Putrajaya ini dijadikan acara tahunan di Putrajaya,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, aktiviti seni dan budaya harus diperkasa seiring dengan kemajuan ekonomi negara.
Beliau turut mengaitkan tentang kebangkitan Asia dengan merujuk kepada pertumbuhan ekonomi.
“Saya ucapkan tahniah kepada MOTAC dan PPj (Perbadanan Putrajaya) kerana telah menganjurkan pementasan yang begitu menarik dan hebat, (ini) bermakna kita ada potensi untuk mengembangkan makna pertumbuhan yang sebenar.
“Dulu saya lakarkan soal kebangkitan Asia, (pokok) pangkalnya adalah pertumbuhan ekonomi kerana dengan memperkasa ekonomi, negara boleh maju.
“Sebab itu penting peranan kementerian ini (MOTAC) yang boleh memartabatkan seni sama ada lukisan, puisi, filem dan teater serta pementasan dan tarian,” ujarnya.
Pada masa sama, Anwar turut menyeru masyarakat berbilang kaum di negara ini supaya menjadikan perbezaan sebagai satu kekuatan dan bukannya faktor persengketaan.
“Tidak ada negara di dunia yang boleh mempamerkan seni dan budaya melalui (rumpun) Melayu sebagai terasnya dengan suku-suku kaum yang pelbagai dari Perlis sehingga ke Sabah.
“Oleh itu, kita gunakan kekuatan ini untuk melihat kekuatan yang ada pada kita, kita boleh pilih perbezaan ini untuk memperkukuh dan memperkuat atau kita boleh pilih untuk menimbulkan keretakan.
“Saya percaya rakyat yang waras dan cintakan negara yang menghormati nilai ‘karamah insaniah’ dengan nilai kemanusiaan akan melihat perbezaan ini, suku kaum (dan) pelbagai jenis keraian dan budaya sebagai kekuatan kerana kepelbagaian ini membina kehebatan negara Malaysia,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan memberi tumpuan khusus dari segi peruntukan menerusi Belanjawan 2024 terhadap sektor pelancongan dan seni budaya.
“Menteri bimbang takut saya tak umum peruntukan tambahan, saya beri jaminan pelancongan ini bidang ekonomi yang sangat penting dalam negara kita. Maka MOTAC harus percaya bahawa tentunya dalam belanjawan negara kita akan beri pemusatan tentang industri pelancongan termasuk pemerkasaan seni dan budaya,” katanya. – UTUSAN