KOTA BHARU: Jabatan Penjara menyasarkan kira-kira 60 peratus bekas banduan memperoleh pekerjaan selepas dibebaskan daripada penjara.
Ketua Pengarahnya, Komisioner Jeneral Datuk Nordin Muhamad berkata, banduan yang masih ada di penjara seluruh negara setakat ini dianggarkan seramai 80,000 orang.
“Setiap bulan hampir 10,000 banduan dibebaskan. Daripada jumlah itu, kita sasarkan seramai 6,000 atau 60 peratus banduan yang dibebaskan memperoleh pekerjaaan.
“Kita akan membantu dengan menyediakan peluang pekerjaan yang bersesuaian kepada mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program My Pride Fest, Mesej Dari Penjara dan Outreach Bersama Komuniti di sini hari ini.
Nordin memberitahu, pelaksanaan Program My Pride Fest diadakan tepat pada masanya sejajar dengan misi jabatan melahirkan usahawan dalam kalangan banduan.
Katanya, semua banduan dilatih dengan kemahiran bagi menyokong ekonomi selepas mereka keluar penjara sekali gus memperoleh pekerjaan.
“Jabatan Penjara banyak mengeluarkan produk berkualiti tinggi hasil air tangan penghuni di sebalik tembok. Harga yang ditawarkan juga amat berpatutan,” ujarnya. –UTUSAN