Jabatan Bantuan Guaman bantu orang susah akses keadilan

Jabatan Bantuan Guaman bantu orang susah akses keadilan

NORAZMI Mohd. Narawi ketika ditemubual wartawan, Maisarah Sheikh Rahim di Putrajaya, baru-baru ini. - IHSAN JPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Adalah menjadi dasar Kerajaan lebih 50 tahun untuk memastikan akses kepada keadilan disediakan dengan sewajarnya, yang khusus buat mereka yang kurang berkemampuan. Itulah yang menjadi fokus utama Jabatan Bantuan Guaman (JBG) dalam menterjemahkan dasar besar itu dengan melaksanakan tanggungjawabnya bagi menyediakan khidmat bantuan guaman agar sampai kepada orang yang memerlukan, seperti mana hasrat Kerajaan demi membantu rakyat yang terkesan.

Ketua Pengarah JBG, Dato’ Norazmi Mohd. Narawi berkata, orang ramai yang layak perlu diberi peluang mendapat keadilan melalui saluran undang-undang yang betul tanpa membebankan  kewangan mereka.

Kata beliau, masih ramai tidak mengetahui hak-hak mereka yang boleh dipertahankan. Selain isu kekangan kewangan yang terpaksa ditanggung ekoran kos guaman melibatkan kos agak besar demi menuntut keadilan, ada sesetengah keadaan, pihak yang terlibat dalam sesuatu pertikaian terpaksa mengambil masa terlalu panjang untuk mendapat keadilan selayaknya.

“JBG memang sentiasa bersedia untuk membantu orang susah melalui urusan secara langsung. Sebab itu kita nak elak orang kena scam. Kita tidak mahu orang yang sebenarnya tidak layak tetapi tiba-tiba dapat bantuan.” – NORAZMI MOHD. NARAWI

Justeru itu, JBG bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan penyampaian perkhidmatan guaman yang berkesan. Itu hanya boleh dicapai dengan menyediakan usaha-usaha penyelesaian pertikaian melalui perkhidmatan pengantaraan yang lebih efektif.

“JBG turut menyediakan khidmat nasihat dalam pelbagai aspek perundangan. Ia juga memberi ruang untuk mengesyorkan pelbagai cara penyelesaian yang adil bagi menangani apa-apa pertikaian
dihadapi oleh pihak-pihak yang ingin mendapatkan perkhidmatan tersebut,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Selain itu, Norazmi berkata, JBG bertanggung jawab dalam memastikan pengurusan kes-kes sivil dan syariah dari aspek penyediaan litigasi bagi memastikan apa-apa pertikaian itu dapat ditempatkan atas neraca keadilan secara mendalam dan menyeluruh. Ia perlu dibuat melalui pemakaian amalan perundangan litigasi yang dilaksanakan dengan pengetahuan dan kemahiran yang perlu untuk penghasilan kerja yang berkualiti dan konsisten.

Dalam perundangan jenayah pula, kata beliau, JBG sememangnya sedari awal memainkan peranan amat penting dalam membantu tertuduh untuk kes-kes jenayah tertentu dalam mendapatkan hukuman yang adil dan munasabah, mengikut jenis kesalahan jenayah yang dipertuduhkan ke atasnya.

Selaras dengan inspirasi Kerajaan yang peka dengan nasib kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah, atas usaha-usaha yang digagaskan oleh YB Dato’ Sri Azalina Othman Said pada tahun 2017 semasa beliau menjadi Menteri Undang-Undang pada ketika itu, perkhidmatan pendamping guaman diperkenalkan dan dikuatkuasakan untuk faedah mangsa kanak-kanak terlibat dalam kes jenayah.

Khidmat pendamping guaman ini amat besar manfaatnya bagi membolehkan keadilan untuk mangsa kanak-kanak tersebut dapat ditadbir secara telus dan penuh kredibiliti. Oleh itu, kesemua fungsi ini, jelas beliau, sewajarnya dapat diketahui seberapa ramai yang boleh melalui program-program dan publisiti, termasuk di media sosial. Usaha-usaha yang berterusan ini dilaksanakan secara optimum supaya perkhidmatan ini dapat tersampai kepada mereka terutama yang tinggal di pedalaman atau kawasan jauh dari pusat bandar.

Ini penting agar tidak berlaku keciciran peluang mendapatkan akses untuk keadilan sebagaimana yang digagaskan di bawah Akta Bantuan Guaman 1971. Apatah lagi pengetahuan dan kesedaran
orang ramai amat mustahak apabila Kerajaan memutuskan untuk menaikkan had kelayakan mendapatkan bantuan guaman berasaskan pendapatan tahunan daripada RM30,000 kepada RM50,000 setahun.

“Program berteraskan CSR ini bermatlamatkan kepada pemberitahuan meluas dan peningkatan kesedaran tentang peranan JBG melalui program kemasyarakatan sama ada menerusi klinik guaman, termasuk penyertaan dalam program-program pameran yang boleh dikunjungi orang ramai,” katanya.

Menurut beliau, sebanyak 436 program Klinik Guaman dan Kesedaran Masyarakat telah diadakan diseluruh negara sejak bulan Januari hingga Jun lalu dengan seramai 17,863 pengunjung yang hadir. JBG juga mengambil peluang mengadakan program ini bersekali dengan program mahkamah bergerak yang diadakan di kawasan pedalaman yang jauh dari pusat bandar.

“Pada masa itu kita dapat mengukur tahap keperluan orang ramai yang berurusan dengan mahkamah, yang sebenarnya sangat memerlukan dan layak untuk mendapatkan perkhidmatan JBG. Dalam hal untuk mempromosi perkhidmatan JBG itu pula, pegawai-pegawai JBG juga perlu dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan undang-undang secukupnya bagi mereka menjalankan tugas sebagaimana ekspektasi pelanggan-pelanggan JBG dan selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan,” katanya.

Pelbagai garis panduan yang dikeluarkan bertujuan menterjemahkan pemakaian undang-undang yang memenuhi semangat khidmat bantuan guaman. Ini sahaja caranya yang dapat membuka ruang seluas-luasnya bagi mencapai keadilan berlandaskan kaedah dan amalan-amalan terbaik bagi memastikan keperluan-keperluan pelanggan JBG dipenuhi.

Dalam pada itu, Norazmi turut mengambil kesempatan menasihatkan orang ramai yang memerlukan bantuan guaman tidak melalui orang tengah. Ini adalah kerana pihak JBG tidak pernah melantik mana-mana orang menjadi ‘broker’ untuk tujuan ini.

Bagaimanapun, pihaknya percaya belum ada lagi kes mana-mana individu yang menjadi mangsa ‘scam’ daripada pihak tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai orang yang dilantik mewakili JBG. Oleh itu, orang ramai diminta agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran sesiapa.

“JBG memang sentiasa bersedia untuk membantu orang susah melalui urusan secara langsung. Sebab itu kita nak elak orang kena scam. Kita tidak mahu orang yang sebenarnya tidak layak tetapi tiba-tiba dapat bantuan. Dalam keadaan lain, ada orang yang sebenar layak dan perlu dapat bantuan, tetapi tidak tahu pun wujudnya khidmat bantuan guaman yang disediakan oleh JBG sejak 50 tahun yang lalu.” JBG beroperasi sejak tahun 1970, yang berasaskan skop ‘orang yang dibantu’ itu ada penilaiannya yang diukur secara objektif sebagaimana dalam Akta.” katanya.

Jelasnya, selain dinilai dengan jumlah pendapatan tahunan ini, JBG mempunyai pertimbangan khas berdasarkan hal-hal di bawah bidang kuasa atas kelulusan Menteri untuk layak mendapat bantuan guaman. “Kita mahu orang ramai sentiasa dalam ketahuan di mana perkara pertama terlintas di fikiran mereka adalah mendapat bantuan guaman dengan JBG apabila mereka menyedari keadaan kewangan mereka yang tidak mengizinkan mereka mendapatkan khidmat guaman berbayar, yang di luar kemampuan sebenar mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya