Isu mahkamah Zahid: AMK gesa sidang Parlimen tergempar

Isu mahkamah Zahid: AMK gesa sidang Parlimen tergempar

MAJLIS Pimpinan Pusat PKR mengumumkan penyusunan semula enam Majlis Pimpinan Negeri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa kerajaan mengadakan sidang Parlimen tergempar bagi membahaskan keputusan lepas dan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Ha­midi daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Naib Pemudanya, Tyra Hanim Razali berkata, selain itu, satu tempoh masa perlu diberikan kepada Jabatan Peguam Negara untuk mencari bukti baharu dan pendakwaan semula perlulah dilakukan dengan serta merta jika pimpinan Kerajaan Perpaduan tidak mahu kehilangan kredibiliti yang akan menyukarkan lagi pentadbiran Malaysia Madani. 

Katanya, AMK mempersoalkan tindakan Jabatan Peguam Negara itu kerana dilihat bertentangan dengan prinsip perjuangan PKR bahawa reformasi institusi kerajaan termasuklah badan perundangan harus bebas daripada sebarang anasir politik.

“AMK juga mempersoalkan tindak-tanduk Peguam Negara lantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak 2020 di bawah pemerintahannya iaitu Tan Sri Idrus Harun yang juga dilaporkan bercuti sementara menunggu persaraan manakala tugasan diambil Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terriruddin Mohd. Salleh di mana keputusan drastik untuk memohon pelepasan tanpa pembebasan kes oleh Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar dibuat dalam tempoh tersebut. 

“Sebelumnya, Raja Rozela Raja Toran yang merupakan Pendakwa Raya yang berjaya membuktikan kes prima facie kes ini juga dilaporkan memohon persaraan awal sebelum bercuti pada hujung Ogos lalu sebelum memulakan persaraan pada November akan datang.

“Peristiwa ini menunjukkan seolah-olah terdapatnya sebuah plot yang terancang oleh pihak tidak bertanggungjawab yang perlu dikenal pasti, namun, AMK mempersoalkan kredibiliti Jabatan Peguam Negara yang kelihatannya seperti mempunyai motif politik terhadap kes ini. Penjelasan mereka tentang keputusan itu juga tidak tuntas dan menimbulkan lebih banyak tanda tanya dalam kalangan masyarakat umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, AMK mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan percaya bahawa beliau tidak campur tangan terhadap kuasa pendakwaan Peguam Negara. 

Katanya, bagaimanapun, dalam masa yang sama, kita tidak dapat nafikan bahawa perkara ini sekali gus melemahkan imej Kerajaan Perpaduan sebagai penongkah arus perubahan dan reformasi serta mengurangkan keyakinan rakyat terhadap Malaysia Madani di tengah ribut Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram.

“Harus diingat, keadilan bermula dengan sebuah perlawanan dan perjuangan ini tidak harus jinak dengan godaan kuasa semata-mata.

“Tidak dinafikan cabaran Kerajaan Perpaduan campuran adalah besar, namun, kita tidak boleh kehilangan identiti dan perjuangan berdekad-dekad lamanya apabila berada puncak kuasa jika kita tidak mahu berterusan dihukum rakyat pada masa sekarang dan seterusnya,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN