MELAKA: Kerajaan akan mengadakan pertemuan dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas), pegawai-pegawai tinggi Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) dan pesawah pada Khamis ini bagi membincangkan isu bekalan beras tempatan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihak pengilang dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga diarah menghantar bekalan di mana-mana lokasi berlaku kekurangan.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan akan dipertingkatkan bagi memastikan beras tempatan tidak dimanipulasi sebagai beras import.
Katanya, kementerian telah mengadakan sesi dialog dengan pengilang dan pemborong di Kedah baru-baru ini dan mereka sudah memberi jaminan untuk patuh dengan dasar-dasar ditetapkan kerajaan.
“Saya tegaskan tindakan keras akan diambil terhadap pengilang atau pemborong jika mereka cuba menyorok ataupun menukar label beras semata-mata mahu mencari keuntungan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Jualan Mega Agro Madani Peringkat Kebangsaan di Dataran Sejarah Ayer Keroh di sini, hari ini.
Tambah Mohamad, kerajaan memberi jaminan bekalan beras tempatan di seluruh negara adalah mencukupi, meskipun berlaku kenaikan harga beras import khususnya dari India sebanyak 40 peratus.
Jelasnya, selain itu kerajaan turut menjamin harga beras tempatan kekal RM2.60 sekilogram.
Menurutnya, tiada sebab harga beras tempatan berlaku kenaikan kerana kerajaan memberikan subsidi sebanyak 60 peratus bagi mengekalkan harga pada paras RM2.60 sekilogram.
“Memang ada permintaan daripada pengilang ingin menaikkan harga beras, namun perkara ini akan kita bincang dari semua segi sebab kalau sekarang ini kita tahu subsidi yang diberikan kerajaan sebanyak 60 peratus itu menyebabkan harga beras tempatan kekal pada harga RM2.60 sekilogram.
“Keadaan beras di negara kita adalah mencukupi cuma kadang-kadang beras import bukan barang kawalan, jadi yang kita kawal adalah harga beras tempatan kekal dengan harga RM2.60 sekilogram.
“Macam dulu bila kita hadapi masalah telur dan ayam, tetapi bila semua pihak bekerjasama alhamdulillah kita dapat atasi masalah itu. Kita harap hal beras pun sebegitu juga,” ujarnya. – UTUSAN