SEPANG: Persembahan tarian jooh oleh kumpulan kebudayaan suku kaum Mah Meri dari Selangor bukan sahaja unik malah ada memukau ramai kenamaan asing di luar negara.
Perkara tersebut didedahkan oleh Exco kerajaan Selangor yang bertanggungjawab ke atas portfolio Adat Istiadat Melayu dan Warisan, Borhan Aman Shah ketika ditemui pemberita.
“Bayangkanlah saya difahamkan bahawa isteri Presiden Indonesia, Iriana Jokowi menitis air mata ketika hadir menyaksikan persembahan mereka di Jakarta baru-baru ini,” katanya.
Terdahulu, beliau melancarkan secara rasmi Pra-Pengisytiharan Sate Kajang Sebagai Makanan Warisan Selangor bersempena dengan Fiesta Sate Selangor 2023, di sini hari ini.
Ketika berucap, beliau menyentuh pengalaman kumpulan etnik tersebut yang wajar boleh dijadikan contoh terbaik kebudayaan negeri itu mengharumkan Malaysia di luar negara.
Tariah jooh sering dipersembahkan kepada para pengunjung Perkampungan Budaya Orang Asli Mah Meri atau dikenali sebagai Orang Laut di Pulau Carey, Kuala Langat dekat sini.
Mereka merupakan antara 18 suku kaum etnik berkenaan di Semenanjung Malaysia yang sebahagian besar menetap di Selangor dengan majoriti daripadanya itu beragama Islam.
Mengulas lanjut, Borhan yang juga merupakan Pengerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor berkata, lebih unik kumpulan penari jooh itu hanya berlatih kurang 24 jam.
“Asalnya cuma buat persembahan tanpa dirancang di hadapan Ibu Iriana, namun beliau meminta agar diadakan lagi penampilan mereka atas pentas formal di Jakarta,” jelasnya.
Susulan kejayaan tidak dijangka tersebut ujar beliau, sebuah agensi kerajaan dari Brunei tertarik dan mahu kumpulan itu melakukan sesi persembahan di negara berkenaan pula.
Justeru, beliau akan berbincang dengan pihak Tourism Selangor untuk dapat dibawa bersama delegasi berkenaan selain pelbagai lagi kumpulan tarian tradisional negeri tersebut.
Tambahan pula katanya, keunikan Mah Meri dapat dijadikan imej Selangor untuk menarik lebih ramai pelancong datang menikmati kepelbagaian budaya masyarakat Orang Asli.-UTUSAN