JELEBU: Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami-Lemi di sini berjaya membiakkan ikan koi Jepun bebas penyakit sejajar dengan standard yang ditetapkan negara Kesatuan Eropah (EU).
Pegawai Penyelidik, Dr. Chew Poh Chiang berkata, Pusat Pembiakan Nukleus (NBC) IPP Glami Lemi membiakkan ikan koi Jepun yang terdiri daripada pelbagai varieti seperti Kohaku, Sanke, Showa, Ginrin, Doitsu, Ogon, Ochiba, Cagoi, Magoi, Soragoi dan Benigoi.
Menurut beliau, kesemua ikan koi tersebut adalah bebas penyakit Koi Herpes Virus (KHV) dan Spring Viraemia of Carp Virus (SVC).
Utusan Malaysia difahamkan, pembiakan ikan koi bebas penyakit itu dilakukan terutama selepas Malaysia disenaraikan sebagai negara larangan eksport ikan koi ke negara EU pada 2008 berikutan ikan berkenaan dikesan dijangkiti KHV yang sekali gus telah melumpuhkan industri ikan koi negara ini.
“Pihak kami memperoleh akreditasi pensijilan Malaysian Good Agricultural Practise dan Fish Quality Certification (MyGAP/FQC) dan kami bertindak mengagihkan koi bebas penyakit kepada penternak dan juga ladang koi berkelayakan.
“Jabatan Perikanan memang menyasarkan dan menetapkan syarat semua ladang koi yang berdaftar dengan jabatan perlu memperoleh Pensijilan MyGAP yang menggariskan pematuhan syarat-syarat biosekuriti dalam pengeluaran ikan koi.
“Oleh itu, sumber stok ikan koi yang reliable dan bebas penyakit khususnya KHV dan SVC adalah sgt penting dan merupakan antara syarat yang perlu dipatuhi mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Jelas Poh Chiang, industri ikan hiasan di negara ini termasuk ikan koi sememangnya mempunyai potensi dan nilai pasaran yang cukup besar.
“Ikan koi diperdagangkan sebagai ikan hiasan dan juga untuk pertandingan, harga setiap ikan adalah mengikut gred, mana-mana ikan yang grednya adalah untuk tujuan pertunjukan dan pertandingan, memang harganya tinggi.
“Industri ini semakin berkembang dan banyak pihak seperti kedai ikan hiasan yang mengimport ikan koi tersebut dari Jepun, mereka besarkan ikan tersebut di sini dan turut menyediakan khidmat membina kolam untuk ikan-ikan ini kepada golongan peminat ikan tersebut,” tambahnya.-UTUSAN