IPEF 2023 wadah tangani kejutan pasaran buruh

IPEF 2023 wadah tangani kejutan pasaran buruh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seiring perubahan landskap pasaran buruh yang mengalami siri kejutan ketara terutama sejak tiga tahun lalu, International Public Employment Forum (IPEF 2023) bakal menjadi wadah terbaik untuk menggarap strategi mengharungi dinamika dunia pekerjaan. 

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, penganjuran forum selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mulai 11 Oktober hingga 13 Oktober ini, dengan menampilkan lebih 28 ahli panel pakar dalam bidang masing-masing juga berperanan sebagai saluran perkongsian pelbagai matlamat pasaran buruh yang akhirnya memberi laba kepada golongan majikan. 

Katanya, intipati perkongsian oleh ahli panel dari dalam dan luar negara menerusi IPEF 2023 akan meliputi aspek pemerkasaan tenaga buruh, Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta sosial dan urus tadbir pekerjaan. 

V. SIVAKUMAR

“Maklumat sebegini mampu menyuntik perubahan positif terhadap rangkaian aspek pengurusan sumber manusia, sekali gus melonjak tahap produktiviti pekerja dan unjuran prestasi syarikat serta mewujudkan tenaga buruh yang utuh. 

“Anjakan perubahan ini amat bertepatan pada masanya, dengan mengambil kira kesan kejutan ketara berikutan pandemik COVID-19 yang menyaksikan amalan pengurusan sumber manusia terdahulu bertukar jumud,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, demi memastikan dasar semasa mencakupi pengurusan sumber manusia; faktor penawaran dan permintaan pasaran buruh; serta corak pengoperasian pekerja kekal relevan, pelbagai entiti syarikat gergasi di pentas global merencana hala tuju baharu. 

Sehubungan itu katanya, perincian amalan terbaik diterapkan Bank Dunia, Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA), selain pakar dari pelbagai negara luar antaranya Jepun, Norway, Belgium dan Jerman akan menjadi panduan terbaik dalam merungkai kejutan pasaran buruh. 

Menurutnya, forum itu turut akan diserikan dengan kehadiran Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Penasihat Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah, Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram dan legenda boling negara, Datuk Shalin Zulkifli. 

Tambahnya, pelbagai pakar pengurusan daripada AirAsia, Shell, Pos Malaysia dan LinkedIn juga akan memberikan input mereka berkaitan pasaran buruh yang transformatif. 

“Yuran penyertaan IPEF 2023 dalam kalangan sektor swasta boleh dituntut semula daripada Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) menerusi Skim Bantuan Latihan (SBL).

“Dari kaca mata pekerja dan yang masih mencari kerjaya bersesuaian terutama dalam kalangan graduan, penganjuran IPEF 2023 berteraskan komitmen Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) iaitu antara agensi seliaan Kementerian Sumber Manusia bakal memberi sudut pandang baharu mengenai corak permintaan pasaran buruh. 

“Kecaknaan berhubung perkara ini penting demi memastikan isu berkaitan ketidakpadanan kerjaya yang masih giat ditangani di Malaysia berupaya mereda dan akhirnya memacu taraf sosioekonomi masyarakat secara keseluruhannya,” ujar beliau. 

Sivakumar berkata, peningkatan keperluan majikan, khususnya membabitkan jenis kemahiran dan pengalaman tertentu, mengikut sektor pekerjaan adalah antara topik utama yang akan diperhalusi dalam siri perbincangan di pentas IPEF 2023. 

Akhirnya kata beliau, satu lagi segmen masyarakat yang akan dapat menimba manfaat daripada IPEF 2023 sejak pertama kali dianjurkan pada 2021 adalah golongan penyelidik di seluruh Malaysia. 

“Selok belok, perkembangan dan evolusi pasaran buruh yang dijangka menjadi ‘komoditi’ utama forum antarabangsa ini sudah pasti membantu dalam proses percambahan idea untuk menyiapkan kerangka penyelidikan pada masa depan. 

“Secara keseluruhannya, IPEF 2023 adalah peluang keemasan untuk dimanfaatkan pelbagai segmen masyarakat di Malaysia kerana ia kunci ke arah anjakan kemajuan pasaran buruh yang menjadi antara penjana utama ekonomi negara,” katanya. 

Pendaftaran untuk menyertai forum itu boleh dibuat menerusi pautan http://ipef2023.perkeso.gov.my

Bagi sebarang pertanyaan, boleh hubungi PERKESO di talian 1-300-22- 8000, 019-6101294, 019-6057634, 019-6093342 untuk peserta dalam negara dan 017-6881641, 019-2400714 bagi peserta luar negara atau emel [email protected]. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya