Ini bukan satu pemberontakan - Aisyah Aziz - Utusan Malaysia

Ini bukan satu pemberontakan – Aisyah Aziz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SAYA memang suka nampak pelik, macam ‘alien’ sikit.”

Laju sahaja jawapan secara seloroh itu terbit dari mulut Aisyah Aziz ketika ditanya mengenai perubahan ketara imej yang menyaksikan tiada lagi sisi keayuan bak wanita Melayu terakhir pada dirinya.

Jika masih ingat, berbanding sewaktu kemunculannya selepas tamat ‘pengajian’ di Akademi Fantasia 2013, Aisyah mungkin teragak-agak untuk menyelongkar dunia fesyen dan perubahan beraninya kini tentunya mengundang cakap-cakap belakang.

Cuma mahu menjadi diri sendiri, kata penyanyi kelahiran Singapura ini, seperti biasa, dia tahu orang akan bercakap apa sahaja yang mereka mahu tetapi dia lebih tahu apa diingini dan dilalui.

Pun begitu, untuk menilai dan meletakkan ia sebagai satu tindakan pemberontakan darinya, kata Aisyah, itu tidak benar.

“Saya bukan ‘rebel’ atau memberontak. Saya sedang mahu mencuba dalam berfesyen. Saya sudah lalui fasa menjadi ‘lady like’, fasa mahu pakai apa sahaja.

“Tetapi untuk fasa kali ini, saya pun tak tahu hendak labelkan sebagai apa. Sebenarnya, saya ini suka buat benda merepek. Entahlah, agaknya memang saya ini pelik.

“Bagi saya, setiap orang ada progres dan peralihan fasa sendiri. Kita tak akan ada progres kalau tetap kekal sama saja. Tetapi, imej begini pun, ia tidak bermaksud ini adalah saya yang baharu,”katanya.

Jelas Aisyah, perubahan imej atau fesyen apa pun, ia sekadar pandangan luaran sahaja dan setiap orang mempunyai perspektif berbeza tentang bagaimana mereka mahu mencorakkan diri masing-masing.

“Ya, tak dinafikan akan ada orang lihat dan cakap saya ini macam dah ke ‘laut’. Tetapi benda ini subjektif dan saya suka begini. Bohonglah kalau kata ibu ayah saya tak pernah tegur.

“Mak pun pernah saja cakap apa nak jadi dengan saya ini. Tentu, dia sebagai ibu dan orang tua, telah berkali-kali memberi nasihat. Tetapi lama-lama dia menerima diri ini sambil mengingatkan agar jangan buat sebarang perkara yang memuda­ratkan diri.

“Seiring peningkatan usia, kita sendiri akan faham apa yang mak kita selalu nasihatkan. Bagi saya, mak saya adalah yang terbaik. Begitu besar cabarannya membesarkan anak-anak, lebih-lebih lagi anak nombor dua macam saya ini,”katanya sambil tertawa kecil.

KE MANA AISYAH MENGHILANG SELAMA INI?

Baru kali ini muncul dengan lagu Pujaanku yang menyaksikan Aisyah menjalin kerjasama dengan Kumpulan Masdo, sebenarnya, boleh dikatakan keberadaannya dalam industri seni muzik Malaysia beberapa tahun kebelakangan ini agak tenggelam.

Entah apa sebab musabab, situasi itu membuatkan ramai kalangan peminat menyangkakan bahawa Aisyah yang juga adik penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz, ini bagaikan sudah tidak sudi untuk berkarya di sini.

Tidak menolak bahawa sememangnya begitu lama kerjaya seninya tidak dilakar sebaiknya di Malaysia, Aisyah bagaimanapun mengakui bahawa kerjayanya di Singapura juga tidaklah bergerak serancak yang disangka orang.

Kata penyanyi ini, entah mengapa, dia memilih untuk melewati waktu seadanya, tanpa wujud rasa keterpaksaan lantaran enggan tertekan dengan perasaan kemestian untuk berluma-lumba dengan orang lain.

“Boleh dikatakan, saya banyak mencari ilham. Sebenarnya bukan tak ada langsung kerja yang dilakukan. Ada, tetapi saya tak rasa mahu keterlaluan berkongsi di media sosial.

“Bukan tak ada undangan persembahan di Malaysia, adalah sesekali. Cuma untuk lagu baharu memang tak ada lagi. Mungkin sebab itulah orang kata saya senyap sahaja dari ‘radar’.

“Pada kebanyakan masa, sebenarnya saya juga sedang mencari diri, mahu meraih kembali keyakinan diri untuk jadi apa yang saya nak. Mungkin itulah fasa yang sedang terjadi ketika itu,”katanya.

Bercerita lanjut, Aisyah menyedari, langkahnya terlalu laju ketika mula menceburi bidang seni, seawal 19 tahun.

“Semuanya berlaku begitu pantas. Saya seakan tiada masa nak mencari dan mengenali siapa Aisyah ini sendiri, apa yang saya mahukan? Sebab itu saya buat keputusan untuk perlahankan rentak demi menarik sedikit nafas walau cuma sebentar.

“Tak perlu berlumba-lumba dengan orang sebab saya tahu, kita semua ada rentak kita sendiri dalam kehidupan dan saya tak mahu sehingga ‘kehilangan’ diri.

“Ya, boleh juga dikatakan saya sedang mencari cinta. Ia lebih kepada bagaimana cara untuk mencintai diri,”katanya.

Kongsi Aisyah, ketika Covid-19 melanda dunia sekitar tiga tahun lalu juga mencetuskan hikmah tersendiri sekaligus memberi satu perspektif lain yang tidak terjangkakan buat dirinya.

“Punyai banyak masa di Singapura, saya banyak berfikir tentang apa yang boleh diteruskan di situ memandangkan saya bermula di Malaysia, bukan di halaman sendiri di Singapura.

“Terus-terang, saya berserah pada Allah SWT. Ada satu titik dalam hidup sebelum itu, yang menyaksikan saya ini macam terlalu bersemangat dalam kerja, membuatkan segalanya harus dikejar dan kelihatan sempurna.

“Jadi, saya mahu ambil masa untuk ‘chill’. Saya sedar bahawa dalam hidup ini akan ada masa kita lalui naik turunnya. Saya mencari ruang kesembuhan untuk diri dari segala ‘hiruk pikuk’ yang ada dalam kepala ini.

“Saya berhenti dan berfikir, ya, saya boleh teruskan kerjaya seni di Singapura, perlahan-lahan. Insya-Allah, sambil-sambil itu boleh betulkan diri sendiri, kenal diri,”katanya.

TEATER BANTU BENTUK DIRI

Kata Aisyah, siapa sangka, melewati perjalanan mencari diri itu, tawaran untuk terlibat dalam satu pementasan teater di Singapura rupanya bagaikan sebuah pintu yang membuka banyak ruang untuknya lebih percaya diri.

Menurutnya, pelawaan produksi Teater Ekamatra sekitar tahun dua tahun lepas melalui naskhah berjudul Bangsawan Gemala Malam dan Potong, ternyata membuka potensi dirinya dalam bidang pementasan teater

“Saya memang tak ada langsung latar belakang bidang teater namun semangat nak belajar itu ada sebab mahu mencuba. Namun siapa sangka, sebenarnya pada masa sama, teater membuatkan saya juga belajar mengenal dan membentuk diri sendiri.

“Bukankah itu apa yang saya cari-cari selama ini? Allah telah susun aturkan dengan baik untuk saya lalui pengalaman ini. Ia bagaikan satu bonus untuk saya sebab saya dapat apa yang inginkan.

“Lama-lama saya jadi jatuh cinta dengan pementasan teater sebab ia membuatkan saya ‘hidup’. Ia buat saya terus mahu belajar. Ia juga membuatkan saya belajar untuk meletakkan ego di bawah kerana kita bergerak sebagai satu pasukan,”katanya.

Kongsi Aisyah, sebelum menerima pelawaan Teater Ekamatra di Singapura, dia pernah mencuba memberanikan diri menjalani sesi uji bakat pementasan teater Puteri Gunung Ledang ( PGL) di Kuala Lumpur sekitar tahun 2019.

“Pun begitu, nasib tidak menyebelahi. Mungkin bukan jodoh untuk bekerjasama dengan Produksi Enfiniti. Kemudian, dunia pun dilanda Covid dan ternyata rezeki saya ada di Singapura.

“Saya juga teringat, ada seorang kawan menghadiahkan sebuah buku berjudul ‘Arts of Acting’. Saya baca dan rasa ia bagaikan satu terapi diri juga. Banyak motivasi dan inspirasi yang saya perolehi,”katanya.

Dalam pada itu, kata Aisyah, dia juga bersedia untuk menyertai sebarang kelas lakonan teater bagi menggilap potensi diri dalam bidang ini.

Mengakui bahawa pencarian ilmu itu tidak pernah ada batas, Aisyah yakin setiap individu yang ingin mengembangkan bakat dan potensi harus memiliki kemahiran dan pengetahuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya