'Ingatkan kemalangan biasa, tak sangka biras meninggal dunia'

‘Ingatkan kemalangan biasa, tak sangka biras meninggal dunia’

KELIHATAN ahli keluarga mangsa di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Putrajaya. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Saya ingat cuma kemalangan biasa, tapi bila isteri arwah maklumkan arwah sudah meninggal dunia memang saya sangat terkejut,” kata Mohd. Azuan Mohd Zain, 37.

Mohd Azuan merupakan biras kepada Yuswar Mohd. Uyus, 39, yang maut dalam kemalangan melibatkan 12 buah kenderaan di KM5.7, Jalan Persiaran Utara menghala Puchong di sini, pagi tadi.

Jelas Mohd Azuan, ketika kejadian berlaku, dia difahamkan arwah dalam perjalanan dari tempat kerjanya di Mahkamah Ampang menuju ke Istana Kehakiman Putrajaya bagi urusan rasmi.

“Isteri saya ada maklumkan mengenai kemalangan yang menimpa arwah sekitar pukul 3 petang dan selepas itu isteri kepada arwah Yuswar sendiri menghubungi saya dan beritahu arwah sudah meninggal dunia.

“Ketika itu saya sudah dalam perjalanan dari Sungai Buloh ke Hospital Putrajaya, memang sangat terkejut dengan berita pemergian arwah kerana kami amat rapat memandangkan isteri saya dan isteri arwah merupakan adik-beradik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Putrajaya di sini hari ini.

Bercerita lanjut, Mohd Azuan berkata, arwah merupakan seorang yang amat mementingkan keluarga serta ringan tulang dalam membantu sanak saudara dan kenalan.

Katanya, ketika bertemu pada Ahad lalu untuk makan tengah hari di kediaman arwah di Flat Sri Sabah, Cheras, arwah tidak menunjukkan sebarang kelainan dan mereka hanya berbual seperti biasa.

“Pagi tadi saya ada lihat video kemalangan yang tular di aplikasi TikTok tetapi saya benar-benar tidak menyangka arwah yang terlibat dalam kemalangan itu dan memang tak sangka kejadian seperti ini boleh menimpa keluarga kami,” ujarnya.

Yuswar yang bekerja sebagai seorang penghantar notis meninggalkan seorang balu berusia 39 tahun dan seorang anak lelaki berusia 12 tahun.

Difahamkan, arwah akan dikebumikan di sebuah tanah perkuburan di Gombak esok selepas selesai proses bedah siasat.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 10.14 pagi, dua penunggang motosikal masing-masing berusia 25 dan 39 tahun maut dalam kejadian membabitkan empat motosikal, enam kereta dan dua buah lori. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya