KUCHING: Bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing, industri kelapa sawit di Sarawak perlu meningkatkan penggunaan teknologi, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Jelasnya isu kekurangan tenaga buruh antara cabaran yang sering dihadapi industri sawit untuk membawa pekerja asing ke negara ini.
“Pada ketika ini, ada keperluannya industri ini (sawit) untuk melihat kepada penggunaan satu mekanisma teknologi dalam proses memetic kelapa sawit.
“Justeru, perlu ada satu penyelidikan kajian berhubung perkara ini, ia tidak boleh bergantung kepada buruh asing sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Tinjauan Harga Minyak Sawit dan Laurik 2023 di Hotel Imperial hari ini.
Susulan daripada keperluan penggunaan mekanisma teknologi tersebut, Abang Johari meminta agar Universiti Teknologi Swinburne, Kampus Sarawak dan sektor swasta untuk mengkaji penggunaan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi proses penuaian kelapa sawit.
Dalam mengadaptasi AI, katanya boleh mengesan buah masak yang sedia untuk dituai.
“Apabila ekonomi berkembang, penggunaan teknologi perlu selari dengan ekonomi sekali gus menjadikan industri itu mampan,” tambahnya.
Beliau pada masa yang sama tidak menafikan penggunaan teknologi baharu pada masa kini boleh menambah baik pengurusan perladangan.
“Penting bagi industri sawit untuk mematuhi piawaian alam sekitar dan kemampanannya sekali gus mencapai piawaian pasaran yang lebih baik.
“Sarawak tidak lagi membenarkan pembangunan baharu ladang kelapa sawit berskala besar, tetapi membenarkan pekebun kecil khususnya pemilik tanah hak adat asal untuk mengambil bahagian dalam sektor ini kerana kita perlu peka terhadap kemampanan dan isu berkaitan minyak sawit.
“Bagi Sarawak, kita menuju ke arah ekonomi hijau dan oleh itu industri perlu menyesuaikan diri dengan keperluan memulihara alam sekitar,” tegasnya.
Dedahnya lagi, 98 peratus daripada pekebun kecil kelapa sawit Sarawak telah sah mencapai piawaian Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
“Maka sebab itu, pemain industri ini perlu menyesuaikan diri dengan teknologi baharu dan persekitaran yang mampan sekali gus meletakkan diri dalam standard pasaran industri global,” katanya.
Terdahulu dalam ucapan perasmian Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar mendedahkan jumlah dagangan niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) Bursa Malaysia Derivatives Bhd pada 2022 mencapai 16.2 juta kontrak yang luar biasa, mengatasi rekod tertinggi sebelumnya.
“Mentah yang mantap Kontrak Hadapan Minyak Sawit atau “FCPO” yang ditawarkan oleh Bursa Malaysia Derivatives memainkan peranan penting dalam menyediakan kecairan dan ketelusan melalui pertukaran-pasaran yang diniagakan.
“Bagi pasaran minyak sawit mentah menghasilkan dalam prestasi ketara Bursa Malaysia Derivatives dengan jumlah 19.1 juta kontrak yang didagangkan merentasi semua produk pada 2022, menandakan 3.8 peratus tahun ke-pertambahan tahun,” katanya.
Tambah beliau, FCPO menawarkan kontrak piawai dan akses kepada data sejarah yang kesemuanya menyumbang kepada menyokong pembuatan keputusan yang bermaklumat dalam kalangan peserta pasaran.
Untuk rekod, persidangan yang dianjurkan Bursa Malaysia dua hari itu diadakan di Sarawak merupakan pertama kali selepas edisi sulungnya di Kota Kinabalu tahun lepas.-UTUSAN