Inap desa bantu jana pendapatan Orang Asli Pos Hau

Inap desa bantu jana pendapatan Orang Asli Pos Hau

RAZALI Ayeh menguruskan Inap Desa bersama sekumpulan Orang Asli di Kampung Redip di Pos Hau, Gua Musang, Kelantan-UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kewujudan perkhidmatan rumah inap desa yang dibangunkan oleh masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Redip, Pos Hau disini mampu merancakkan dan mengembangkan kegiatan ekonomi penduduk setempat menerusi aktiviti pelancongan.

Pengurus Inap Desa Kampung Redip, Razali Ayeh, 48, berkata, sejak lebih 10 tahun lalu, inap desa tersebut menjadi destinasi penginapan kepada pelancong luar yang berkunjung ke kawasan itu.

Menurutnya, sebanyak 12 buah inap desa telah dibina secara bergotong-royong menggunakan tumbuhan hutan seperti buluh, rotan dan daun bertam.

“Kami bukan sahaja menawarkan penginapan malah aktiviti lasak serta kebudayaan masyarakat Orang Asli seperti memasak makanan tradisional, bersewang, menyumpit serta menjerat binatang.

“Kita menawarkan pakej selama tiga hari dua malam dengan kadar RM360 bagi setiap pengunjung,” katanya ketika ditemui di Kampung Redip di sini hari ini.

Razali memberitahu, inap desa berkenaan membantu meningkatkan ekonomi penduduk apabila mereka dapat menjana pendapatan termasuklah menjual hasil tanaman serta kraf tangan mereka.

Katanya, orang ramai yang ingin menginap boleh berhubung dengannya melalui nombor 019-6122949.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, Kampung Redip akan terus dipromosikan sebagai destinasi pelancongan yang harus dikunjungi oleh orang ramai.

Katanya, langkah tersebut dilihat memberi peluang untuk memaparkan keindahan alam semula jadi, kebudayaan serta meningkatkan sumber ekonomi masyarakat setempat.

“Inap Desa di Kampung Redip ini adalah satu tempat yang indah yang boleh menarik kedatangan pelancong. Namun, saya lihat perkara ini perlu diberi nafas baharu selepas pasca pandemik Covid-19 apabila pelancong mula berkurangan.

“Jadi saya telah berbincang dengan penghulu dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Hau untuk kita menaik taraf lapan buah inap desa yang perlu penyelenggaraan kerana berlaku kerosakan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya