Ilham seni atas pinggan porselin

Ilham seni atas pinggan porselin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINAT melukis atas barangan kaca seperti pinggan mangkuk sudah lama terbit dalam jiwanya. Malah, beliau selalu membelek hasil lukisan pelukis lain di media sosial, namun atas beberapa kekangan minat tersebut hanya dipendam begitu sahaja.

Sehinggalah rezeki menyebelahi Halina Abdul Hadi, 58, apabila pada 2021, beliau mengikut suami bekerja di Kuala Lumpur dari Kertih, Terengganu.

Dari situlah minat tersebut diluahkan.

Beliau direzekikan berjumpa dengan beberapa rakan yang mempunyai hobi sama dan guru yang memahami hasratnya.

Ironinya, wanita berasal dari Johor Bahru ini tidak pandai melukis terutama corak berbunga. Malah, lukisan terakhir yang dilakarnya adalah ketika berusia 13 tahun.

“Saya tiada kemahiran melukis tetapi mahu mencuba. Akhirnya pada Ogos 2021 saya memberanikan diri masuk ke kelas melukis pinggan.

“Saya hampir tidak percaya tetapi guru kelas berkenaan, Datin Norehan Tunku Kamil berjaya menyakinkan yang saya boleh,” katanya.

Di usia separuh abad, Halina mengakui bertuah kerana berjaya merealisasikan impian melukis atas produk porselin.

“Sukar untuk diluahkan dengan kata-kata tetapi apabila siap melukis dan ada pula yang berkenan saya rasa sangat lega,” ujarnya.

Lukisan pertamanya dilakar atas pinggan makan.

Ujarnya, tidak ada jalan pintas untuk terus berjaya.

Bagaimanapun, beliau berpegang kepada prinsip di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

“Saya teliti setiap ajaran cikgu dan mempraktikannya perlahan-lahan.

“Saya diajar asas bunga yang mudah iaitu stroke atau garisan yang dilukis kerana sebagai pelukis baharu kita bermula dengan meniru stroke pelukis lain sebagai contoh. Kemudian, saya menerokai gaya lukisan sendiri hingga menemui keaslian.

“Antara bunga-bunga yang dilukis termasuk hydrangea, kenanga, matahari dan lavender. Cuma lekuk bunga mawar saya belum mahir kerana ia sangat mencabar,” ujarnya ketawa.

GEMBIRA MELIHAT HASIL
Keasyikan Halina bercerita mengenai hobinya itu menyerlahkan identiti wanita dari Kajang, Selangor ini yang sangat menyenangi apa yang dilakukan kini.

“Saya gembira dengan apa yang saya lakukan. Tidak bergelut dengan masa untuk menyiapkan lukisan. Saya seakan tenggelam dalam dunia yang sungguh tenang dan mendamaikan. Terutama bila melukis bunga-bungaan yang cantik dan berjaya menghasilkan kelainan yang menarik.

“Sebab itu saya masih simpan hasil lukisan pertama dan sesekali bila dipandang, kenangan itu terimbau hingga saya tersenyum sendiri.

“Kini, saya mewarnai hari-hari dengan melukis walaupun belum pakar tetapi pencapaian sedikit demi sedikit itu yang menggembirakan,” ujarnya.

Bermula daripada suka-suka dan mahu mencuba, kini Halina bersyukur kerana hobinya dihargai kenalan yang menempah daripadanya.

Katanya, kebanyakan mereka gemarkan lukisan bunga penuh selain corak halus dan petite.

Ada juga yang mahukan lukisan kartun dan inspirasi karakter itu dirujuk di internet.

“Melukis atas pinggan atau permukaan luas, lebih mudah berbanding pada mug, cawan atau teko. Tetapi, sebab minat saya lukis juga dan selalunya pelanggan berpuas hati,” katanya.

Sambutan yang diterima itu membolehkannya membayar semula modal membeli peralatan lukisan.

“Apabila ada yang menempah set pinggan mangkuk sebagai cenderahati untuk pasangan raja sehari atau lukisan pinggan hiasan untuk pelbagai majlis, saya menghargainya kerana melukis atas pinggan memerlukan modal agak tinggi.

“Berus-berus diimport khas dari Jerman manakala pewarna pula ada yang dibeli dari Jepun dan Amerika Syarikat.

“Sebab itu saya lihat pada tawaran harga yang dirasakan berbaloi kerana untuk menyiapkan lukisan bagi set penuh boleh mengambil masa yang berhari-hari,” ujarnya.

TEKNIK KENA BETUL
Halina turut teruja menyaksikan pelbagai bancuhan warna dan ilmu baharu itulah yang banyak mendorongnya untuk terus gigih mempelajari teknik yang tepat.

“Saya bukan pelukis dan hanya tahu melukis atas pinggan mangkuk sahaja, namun, kini saya cuba menerokai bidang baharu dengan melukis atas kertas menggunakan warna air dan akrilik. Tidak sangka pula jatuh cinta dan menjadi hobi baharu,” katanya.

Langkah melukis atas pinggan porselin bermula dengan campuran oxide dan medium sehingga sebati seperti ubat gigi.

“Lukiskan outline atau stroke daun dan bunga dahulu, kemudian masukkan warna dan buat kelopak
bunga mengikut kreativiti kita. Kemaskan dengan mop supaya tanda kasar berus pada kelopak bunga atau daun tidak kelihatan.

“Proses mop paling sukar dan mengambil masa lama kerana jika tersilap, daun berwarna hijau boleh bertukar putih sebab terlalu lama untuk kelihatan smooth,” katanya.

Halina mengambil masa selama setahun setengah untuk menghasilkan lukisan daun yang cantik.

“Bagi wanita yang mempunyai minat sama, luangkan masa untuk mempelajari sesuatu sebagai hobi .

“Selain itu, kena rajin melukis setiap hari kerana pesan guru ia dapat menjadikan tangan ringan dan berseni,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya