BALIK PULAU: Pelancong wanita warga Singapura yang maut dalam kejadian van persiaran yang terbabas ke cerun bukit di Jalan Teluk Kumbar, Bukit Genting dekat sini semalam, dikenal pasti sebagai Lee Kwee Yiam, 62.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, mangsa akan dibedah siasat pukul 2 petang ini di Jabatan Forensik Hospital Balik Pulau.
Katanya, kesemua mangsa menaiki sebuah van persiaran yang disewa daripada pemandu van yang turut cedera dalam kemalangan berkenaan.
”Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pukul 8.35 malam tadi yang mana pemandu van tersebut memandu van milikan sendiri dengan membawa 10 pelancong Singapura dari sebuah restoran di kawasan bukit tersebut.
”Ketika van hendak menuruni bukit Jalan Genting, pemandu gagal mengawal kenderaan lalu terbabas jatuh gaung,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kemalangan malam tadi, seorang pelancong wanita warga Singapura maut selepas van persiaran yang dinaikinya terbabas dari cerun di Bukit Genting di sini.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Air Putih, Pegawai Bomba Kanan II, N. Prenavaran berkata, mangsa disahkan maut di lokasi kejadian kerana cedera parah.
Prenavaran berkata, mangsa menaiki van berkenaan bersama 10 rakan senegaranya terdiri daripada warga Singapura iaitu tujuh wanita dan tiga lelaki.
Menurut Kamarul Rizal, siasatan awal di tempat kejadian mendapati lokasi terbabit adalah jalan sehala dengan permukaan tidak rata.
Katanya, 10 mangsa termasuk pemandu van berusia 61 tahun mengalami pelbagai kecederaan antaranya di bahagian kepala, tangan, belakang badan, pinggul, kaki, muka dan leher.
“Semua mangsa berusia antara 55 hingga 69 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN