Ibu cekal jaga anak akibat kemalangan - Utusan Malaysia

Ibu cekal jaga anak akibat kemalangan

Ibu anak
MOHD. Najwan Halimi (dua, kiri) sedang menyantuni Mohd.Nur Farith Shakba (duduk, tengah) sambil diperhatikan Saadiah Yahya (kanan) dekat rumahnya di Taman Cempaka Sari di Klang, Selangor, hari ini.- UTUSAN / AMIN AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: ‘Berat mata memandang berat lagi bahu memikul’ begitulah perumpamaan terhadap kecekalan seorang ibu tunggal menjaga anak bongsu yang kini terlantar akibat kemalangan jalan raya beberapa bulan yang lalu.

Menurut Saadiah Yahya,65, semasa menerima berita kemalangan anaknya, Mohd. Nur Farith Shakba,34, dia begitu sedih dan hanya ke hospital dua hari selepas kemalangan tersebut berlaku.

“Saya tidak kuat tetapi demi anak saya tetap menjaganya (selepas keluar hospital) dengan bantuan kakak-kakak dan abang iparnya. Kadang-kadang saya menangis juga, demi anak saya teruskan juga.

“Kekuatan saya adalah keazaman untuk melihat anak saya kembali pulih. Itulah semangat saya pada saat ini,” katanya ketika ditemui ketika lawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi dan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor, Ismail Abi Hashim di Taman Cempaka Sari, hari ini.

Ismail memberitahu sebanyak empat jenis bantuan diberi kepada Mohd.Nur Farith melibatkan Faedah Hilang Upaya Kekal sebanyak RM189,000, Hilang Upaya Kekal Berkala, RM3,036, Elaun Layanan Sentiasa, RM500 dan Hilang Upaya Sementara, RM22,000.

Mengikut laporan Perkeso, Mohd.Nur Farith yang kini tidak boleh bercakap dan berjalan, sebelum ini terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

Beliau yang merupakan Jurutera Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor dilaporkan ditimpa dengan tilam yang dibawa oleh kenderaan tersebut dan mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan saraf.

Dalam pada itu, menurut Najwan, kerajaan negeri komited dalam menjaga kebajikan warga MSN dengan memastikan atlet dan kakitangannya membuat caruman Perkeso.

“Kita sebagai keluarga besar MSN tidak pernah melupakan warga kita yang mengalami kemalangan dan menyerahkan sumbangan one off RM5,000,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya