BENTONG: Hubungan dengan parti yang bersikap ‘political chameleon’ atau ‘mengkarung politik’ tidak akan bertahan lama meskipun kononnya atas nama permuafakatan.
Tanpa menyebut secara khusus nama parti dimaksudkannya itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak itu sanggup melupakan kebersamaan yang dijalankan selama ini setelah mendapat nikmat atau habuan.
Beliau menyifatkan hubungan UMNO dan parti itu sebagai perkahwinan mut’ah atau kontrak dengan ungkapan peribahasa habis madu sepah dibuang.
“Jangan termakan janji dan fitnah mereka. Dahulu kita pernah mencuba bersama atas nama kemuafakatan, tetapi parti politik mengkarung hanyalah sementara.
“Apabila dapat nikmat, habis madu sepah dibuang, mereka berkahwin mut’ah atau kahwin kontrak, kita tidak mahu begitu. Kita mahu kerajaan stabil dengan sebuah kerajaan Pahang yang kuat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Karnival Kerjaya MyFuture Jobs bersama Hawa Malaysia di Dataran Ilmu Felda Chemomoi di sini hari ini.
Justeru, Ahmad Zahid berkata, rakyat tidak boleh lagi menjadi mangsa pemikiran politik sempit dan antagonis dengan terus menanam kebencian tanpa membawa sebarang agenda pembangunan.
Beliau mengajak pengundi Pelangai untuk memilih seorang wakil rakyat yang selari dengan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Pahang.
“Kita patut fokus kepada pembangunan, bukan membuat fitnah, buat tohmahan. Ini pilihan raya untuk memilih ADUN Pelangai untuk menyelesaikan masalah mereka untuk orang Pelangai, orang Bentong.
“Kita mahu lihat Pahang terus aman damai, berada dalam kestabilan. Kita tidak mahu percanggahan, ketepikan soal politik yang beri semangat berbeza kepada rakyat,” katanya.-UTUSAN