BENTONG: Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How didakwa celupar kerana dikatakan membuat tafsiran sendiri terhadap ayat suci al-Quran susulan video tular baru-baru ini.
Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md. Nor berkata, tindakan itu tidak seharusnya timbul kerana dilakukan bukan seorang pakar tafsir al-Quran, malah penganut selain agama Islam.
Kata Menteri Besar Kedah itu, beliau hairan dengan perbuatan tersebut sedangkan orang Islam termasuk dirinya tidak berani mentafsir al-Quran secara sesuka hati.
Muhamad Sanusi kemudian melahirkan kebimbangan jika perkara itu dibiarkan, maka lebih ramai pihak menafsir al-Quran dengan sewenang-wenangnya.
“Ini kurang ajar, mengapa dia (Howard) berani sampai tahap itu? Mengapa dia berani tafsir al-Quran? Fasalnya kebatilan dan kebenaran telah bersatu.
“Islam yang kita junjung telah ditafsir oleh sesiapa pun. Ini bahaya pemikiran liberal kerajaan hari ini,” katanya dalam ceramah perdana di Felda Kemasul, Simpang Pelangai di sini semalam.
Terdahulu, satu laporan polis telah dibuat terhadap Howard Lee di Balai Polis Manjoi, Ipoh Perak ekoran beliau didakwa membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran.
Sebelum ini, Dewan Pemuda Pas Perak turut menyifatkan Howard Lee sebagai kurang ajar dan cuba memprovokasi apabila mendakwa ahli Parlimen DAP itu menjadi pentafsir kepada al-Quran dengan memutarbelitkan tafsir ayat 59 surah an-Nisa.
Justeru itu, Muhamad Sanusi berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai perlu dijadikan medan rakyat untuk menolak segala tindakan dan kelemahan di bawah kerajaan pada hari ini.
Beliau berkata, perkara itu bukan sahaja membabitkan perbuatan Howard Lee malah juga kegagalan menangani masalah bekalan beras tempatan dan kenaikan harga barangan kebelakangan ini.
Katanya, kemenangan Perikatan Nasional (PN) di beberapa kerusi majoriti Melayu dalam beberapa siri pilihan raya lalu menunjukkan perjuangan kaum itu hampir sampai kemuncak.
“Buktikan gelombang itu telah sampai ke negeri Pahang, kalau tidak Pilihan Raya Umum Ke-16 nanti, bermula daripada sekarang Pelangai yang mesti kita menang.
“Kita nak bersatu dan harmoni, oleh itu kita hendak teras politik negeri Pahang kekal di tangan orang Melayu,” katanya. – UTUSAN