Hotel dalam masjid - Utusan Malaysia

Hotel dalam masjid

MASJID Al-Ghufran, Kompleks Balai Islam, Pinggir Taman Tun Dr. Ismail (TTDI).-UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASJID Al-Ghufran, Kompleks Balai Islam, Pinggir Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) ini sememangnya unik daripada banyak segi.

Pertama, ia dibina di atas bukit berhadapan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), berbanding kebanyakan masjid lain di negara ini yang dibina di atas tanah lapang dan rata.

Kedua, masjid yang menyediakan kemudahan hotel kepada musafir dengan 24 kamar yang mampu memuatkan 78 orang pada satu-satu masa.

Ketiga, ia dibina hasil usaha penduduk setempat untuk menubuhkan surau ketika itu selepas pinggir TTDI yang asalnya adalah kawasan hutan sudah mula diteroka penduduk.

Menyingkap mengenai kamar disediakan di situ, Pengerusinya, Tengku Datuk Seri Hasmuddin Tengku Othman berkata, kalau di Eropah, konsep masjid menjadi ‘tempat tidur’ atau tempat persinggahan bukanlah asing.

“Namun, apabila kes jenayah seperti kecurian dan kehilangan barang dilaporkan berlaku, ada sebahagian masjid, tidak lagi meneruskan operasi berkenaan.

“Bagai­manapun, keperluan ter­se­but tetap ada. Di negara Eropah, pihak masjid masih membenarkan musafir tidur di dalamnya kerana tertegaknya syiar Islam kerana masjid jadi tempat menaungi orang susah,” katanya.

Masjid yang dibina dengan kos RM5 juta dinamakan sebagai surau Balai Islam pada 6 April 1993.

Setelah dinaik taraf sebagai surau Jumaat pada Februari 1995, ia kemudian dinaik ta­raf menjadi masjid pada 4 April 2000 bersesuaian dengan peningkatan aktiviti masyarakat ketika itu.

Seni bina masjid ke­lihatan seperti masjid di negara Asia Barat. Ukiran bercorak pada bahagian mihrabnya itu diukir pengukir dari Maghribi sekali gus membangkitkan rasa ketenangan kepada jemaah.

AKTIF BERAKTIVITI

Masjid itu turut menjalankan banyak aktiviti, antaranya seperti kelas pengajian agama pada setiap hujung minggu, ibadah korban, kursus kahwin, tazkirah serta mempunyai laman web sendiri.

Maka, tidak hairanlah sekiranya masjid berkenaan pernah tercalon bagi Anugerah Masjid Inovasi Peringkat Kebangsaan pada 2010.

Masjid bersempadan antara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor itu turut menyediakan kemudahan dewan seminar, kafe serta rumah petugas.

Turut ada, Sekolah Rendah Agama Al-Ghufran yang ditadbir Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang mampu menampung seramai 200 murid, serta dilengkapi pendingin hawa di setiap kelas.

Memegang visi mentadbir masjid secara profesional, Tengku Hasmuddin berkata, ia turut berperanan menjadi pusat ekonomi dan sosial ummah sekali gus memberikan manfaat kepada masyarakat sekitar.

Kongsinya, ia asalnya diimarahkan pelajar Darul Quran kerana bangunan pertamanya dibina pada 1992 bersebelahan kawasan masjid sebelum dipindahkan ke Kuala Kubu Bharu.

“Ia kemudian digantikan dengan menempatkan rumah anak yatim di bangunan itu. Masjid ini secara tidak langsung menjadi keperluan kepada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Masjid yang sudah mencecah usia tiga dekad itu turut menjadi tumpuan dalam kalangan pelancong luar.

“Hampir setiap minggu kami menerima kunjungan daripada pihak luar termasuk organisasi keagamaan dari Thailand dan Indonesia yang melawat atas tujuan melihat bagaimana masjid menguruskan operasi dengan menjana ekonomi sendiri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya