Hasil padi susut dihadapi seluruh dunia - Utusan Malaysia

Hasil padi susut dihadapi seluruh dunia

Padi
SELANGOR tidak terlepas daripada terkesan dengan perubahan iklim yang berlaku di seluruh dunia menyebabkan kekurangan hasil padi dan ia turut disumbang oleh serangan penyakit sebelum ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Penyusutan hasil padi dihadapi Selangor dikenal pasti akibat kesan daripada perubahan iklim dan serangan penyakit yang turut dihadapi di peringkat global sehingga menyebabkan pengeluaran tanaman itu mengalami penurunan.

Malah, hasil padi di negeri ini berdasarkan musim terkini dilaporkan berada pada tahap tiga hingga empat tan metrik sehektar jauh lebih rendah berbanding tempoh terutama sebelum pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim berkata, penyusutan tersebut perlu ditangani menerusi inovasi dalam pertanian serta pelaksanaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mengatasi masalah berkenaan.

“Satu lagi kita tengok sejak Covid-19 dan perubahan iklim, hasil padi sebenarnya (terjejas) di seluruh dunia kesannya, ramai yang sudah hentikan kuota untuk eksport. Mereka pun hadapi masalah kekurangan.

“Perubahan iklim adalah satu perkara yang memberi kesan kepada pertanian di seluruh dunia, sebab itu di Selangor inovasi dan R&D kena diperkemaskan, contoh kalau pertanian moden yang menggunakan tanaman dalam bangunan atau rumah hijau, tentulah ia tidak tertakluk kepada perubahan musim.

“Namun tak semua tanaman boleh dibuat dalam rumah hijau,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi Pertanian dan Agogreen Selangor: ‘Membudayakan Inovasi, Memperkasa Sekuriti Makanan’, hari ini.

Pada program tersebut, beliau memaklumkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan menjalankan bancian pertanian di negeri ini secara besar-besaran pada Julai tahun depan bagi mendapatkan data-data terkini dan tepat dalam sektor tersebut.

Menurutnya, pengumpulan data tersebut penting untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pertanian di Selangor, ia boleh digunakan untuk menambah baik pengurusannya serta meningkatkan pengeluaran pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Izham turut mengulas cadangan pelaksanaan penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun dan menyatakan keadah tersebut perlu diteliti kerana relevan pada tempat-tempat tertentu.

“Dahulu pernah buat, ia sebenarnya kena diteliti, ada isu lain terutamanya air, kalau sistem pengairannya bagus…sebab itu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (Datuk Seri Mohamad Sabu) minta kelulusan dinaiktaraf sistem saliran, RM3 bilion. Kita pun perlukan.

“Kedua adalah benih, masalah besar kita adalah benih bercampur-campur. Ada benih yang tempoh masanya pendek, boleh, tetapi kena semua tanam benih yang sama. 

“Sebenarnya memang boleh buat, cuma kaedah itu tidak mampan disebabkan isu-isu disebutkan tadi. Kalau kita boleh perhatikan dengan baik, benih kena yang sesuai, rawatan tanah dan pembajaan pun dilakukan. Lagi banyak kamu tanam tetap tak rawat tanah, lagi bertambah tidak subur,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya