PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Sarawak pada Isnin depan.
Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi DUN N.67 itu.
Menurut beliau, selaras dengan Artikel 21(5) Perlembagaan Negeri Sarawak yang memperuntukkan kekosongan luar jangka kerusi itu perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut, dipastikan oleh SPR.
“Mesyuarat Khas tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh di mana tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon dan Hari Pengundian.
“(Ini termasuk) Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut akan dibincangkan seterusnya satu sidang media diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bekas ADUN Jepak yang juga bekas Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip dilaporkan meninggal dunia pada 15 September lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021, Allahyarham mempertahankan kerusi DUN itu dengan 4,243 undi majoriti. – UTUSAN