KUCHING: Bandar raya ini akan menjadi saksi rakyat Malaysia daripada ketiga-tiga wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak bergerak Segulai Sejalai di Stadium Perpaduan sempena sambutan Hari Malaysia 2023 malam esok.
‘Segulai Sejalai’ merupakan cogan kata dalam bahasa Iban yang bermaksud ‘Berjalan Seiringan’ itu bertepatan dengan matlamat Kerajaan Perpaduan untuk mengukuhkan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menandatangani satu buku khas sempena majlis sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan di Stadium Perpaduan, Petrajaya di sini.
Dengan bertemakan ‘Malaysia Madani : Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’, Stadium Perpaduan bakal menjadi tumpuan utama rakyat di seluruh Malaysia khusus pada esok selepas dipilih sebagai tuan rumah bagi sambutan yang bermakna ini.
Tinjauan sesi raptai malam tadi juga mendapati persiapan berjalan lancar melibatkan pemeriksaan pentas utama, susun atur program, selain mereka yang membuat persembahan turut diberi peluang untuk menampilkan hasil mereka kepada tetamu kehormat yang hadir pada malam tersebut.
Antara pengisian program lain pada majlis sambutan pada esok malam ialah Persembahan Tarian Tiga Wilayah Semenanjung Malaysia; Sarawak dan Sabah.
Selain itu Persembahan Khas “Musical Segulai Sejalai” dan Persembahan Tekad Perpaduan Penuhi Harapan oleh Penyanyi Tempatan, Aina Abdul dan Bob Yusof.
Kelihatan turun padang bagi memastikan acara berprestij ini berjalan lancar pada malam tadi ialah Menteri Komunikasi dan Digital merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2023, Fahmi Fadzil.
Pada sambutan di Sarawak tahun ini, kira-kira 3,000 orang dijangka hadir bagi memeriahkan sambutan berkenaan.
Majlis sambutan itu nanti akan dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar serta isteri, Datuk Fatimah Mohamad Iskandar.
Selain itu, Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor serta isteri, Datin Seri Julia Salag juga dijangka hadir pada sambutan Hari Malaysia 2023 Peringkat Kebangsaan di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching, pada malam esok. -UTUSAN