PUTRAJAYA: Harga Beras Putih Tempatan (BPT) di peringkat runcit masih dikawal pada kadar RM2.60 sekilogram (kg).
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjelaskan, perkara itu sebagaimana tertakluk di bawah Perintah Beras (Kawalan Gred dan Harga) (Pindaan No.4) 2008, Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522].
Penjelasan itu sebagai memberi maklum balas kepada kenyataan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin berhubung cadangan menaikkan harga siling BPT kepada RM34 setiap 10 kg.
Berhubung kebenaran pembelian beras putih import (BPI) dengan harga borong oleh pengusaha restoran, KPKM berkata, langkah itu bagi membantu pihak pengusaha restoran, makanan dan penjaja kecil mendapatkan BPI dengan harga borong bagi perniagaan mereka.
“Melalui kaedah ini, pihak peniaga dapat mengawal kos operasi dan memastikan harga nasi yang dijual tidak dinaikkan harga.
“Dalam masa sama, usaha ini juga untuk memastikan bekalan BPT akan dapat distabilkan dengan mengurangkan pembelian banyak oleh pengusaha restoran, makanan dan penjaja kecil untuk kegunaan perniagaan berbanding pembelian untuk keperluan isi rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kerajaan sebelum ini memberi kebenaran pembelian BPI pada harga borong iaitu RM160/50kg (harga di pintu gudang) kepada persatuan-persatuan restoran, pengusaha makanan dan penjaja kecil.
Dalam hal ini, KPKM mengambil langkah tersebut untuk mengimbangi keperluan beras bagi tujuan perniagaan dan kegunaan isi rumah dalam tempoh permintaan tinggi kepada bekalan BPT pada masa ini.
“Persetujuan ini dicapai melalui sesi libat urus di antara KPKM dan persatuan-persatuan restoran, pengusaha makanan dan penjaja kecil pada 15 September lalu,” katanya. – UTUSAN