KANGAR: Kerajaan dicadang menghapuskan penglabelan gred beras putih tempatan dan import sebaliknya disatukan kategori beras putih dengan menetapkan pada satu harga.
Ia antara langkah mengatasi masalah manipulasi bekalan beras putih tempatan dengan menukarkan bungkusannya kepada kampit beras import sekali gus membebankan pengguna.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Dibuk Sdn. Bhd., Ezreen Muhaizi Marzukhi berkata, beras Super Spesial Tempatan (SST) dan beras Super Spesial Import (SSI) sukar dibezakan.
Ia sekali gus memudahkan pihak tidak bertanggungjawab memanipulasi dengan menukar kampit beras import kepada tempatan bagi mengaut keuntungan lebih.
Malah katanya, jika kedua-dua jenis beras berkenaan sudah dimasak, rasa dan teksturnya tetap sama.
Katanya, apabila tidak ada beza dari segi sifat beras, maka berlaku kelompangan terbesar seterusnya penyelewengan.
“Bila kita nak pergi tangkap orang dekat kedai, kita tidak boleh tangkap terus sama ada individu terbabit benar-benar salah atau tidak kerana tidak ada cara tentukan sama ada itu beras tempatan atau import yang berada di dalam kampit beras import tersebut.
“Kecuali dengan cara menentukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang mana kita tidak ada mesin seperti itu dan perlu dihantar ke luar negara.
“Jadi antara langkah menyelesaikan isu berkenaan adalah dengan tukar polisi. Kalau tidak boleh dibezakan beras tempatan dan import, kita buat satu gred beras iaitu beras putih,” katanya.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, tindakan terhadap aktiviti mencampurkan beras tempatan dan beras import sukar diambil kerana perkara itu tidak mudah dibuktikan sehingga ia didakwa dijual sebagai beras import sepenuhnya di pasaran.
Sementara itu, Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban pula berkata, harga beras tempatan dan import perlu diselaraskan memandangkan kenaikkan harga khususnya beras import sangat ketara.
Katanya, manipulasi dengan menukar kampit beras sangat mudah berlaku memandangkan tiada perbezaan kedua-dua jenis beras itu.
“Tindakan penguatkuasaan dengan pergi ke kedai-kedai dilihat sudah tidak berkesan. Kena selaraskan harga semua jenis beras ini. Kalau tidak isu manipulasi mudah berlaku bagi mengaut keuntungan lebih.
“Kalau tidak isu manipulasi beras ini sukar diselesaikan. Kalau campur beras tempatan import sukar diketahui kerana sukar dibezakan,” katanya. – UTUSAN