KETIKA anak muda lain lebih terkinja-kinja mempelajari tarian hiphop dan moden, gadis genit berusia 29 tahun dari Penampang, Kota Kinabalu, Sabah, ini mula mempelajari tarian tradisional.
Walaupun belum menguasai pelbagai tarian tradisional di Sabah, namun, Hannah Mojing, 29, tidak pernah serik untuk belajar.
Katanya, dia yakin dengan kesungguhan dan minat mendalam, pasti membuahkan hasil satu hari nanti.
Berkongsi pengalaman bergiat aktif sebagai penari sepenuh masa, gadis manis dari suku Kadazan ini mendedahkan minatnya mempelajari tarian tradisional mula terdetik selepas melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat (AS).
“Saya ini gadis bandar, duduk pula di Kota Kinabalu. Sejak berusia tujuh tahun sudah belajar tarian moden seperti balet, gimnastik dan hiphop, kecuali tarian tradisional.
“Bila di AS, baru saya terfikir apakah keunikan yang mahu dipersembahkan. Sejak itu, saya mula mencari dan membaca buku mengenai tarian tradisional.
“Pulang sahaja ke Malaysia, saya terus mempelajari dan mencari semula identiti asal saya,” kata pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ini.
KURANG PELUANG DI SABAH
Ketika berada di negara Uncle Sam itu, Hannah berkata, dia melanjutkan pengajian double degree dalam bidang psikologi dan tarian.
Katanya, sudah menjadi lumrah golongan muda lebih menggemari tarian moden dan mencuba benda baharu di depan mata.
Jelasnya, ramai anak muda yang tidak mahu meneroka tarian tradisional kerana dianggap membosankan dan tidak relevan dengan peredaran zaman.
“Saya sanggup cari kawan, guru dan mentor semata-mata mahu mempelajari tarian tradisional.
“Saya asal daripada kumpulan tarian Tikar Mengkuang yang popular dalam kalangan etnik Sumazau. Saya selalu buat acara tarian itu di Sabah termasuk bengkel yang dianjurkan Think City di KL,” ujarnya.
Berpeluang mengadakan bengkel dan persembahan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Hannah berkata, dia teruja untuk menonjolkan keunikan Sabah bersama teman seperjuangan yang lain.
Ini kerana, luahnya, mereka mempunyai peluang yang kurang disebabkan tawaran persembahan yang tidak banyak, bayaran rendah serta peluang terhad.
“Organisasi yang menganjurkan acara seperti ini di Sabah tidak banyak. Kalau ada, bajet pula kurang dan tak dapat bayar penari. Akhirnya, penari tak dapat cari makan dan perlu datang ke Kuala Lumpur.
“Kebanyakan kami bergerak sendiri, jadi sudah tentu tidak melepaskan peluang ini. Walaupun tidaklah terlalu lumayan, saya tetap mahu datang kerana sebagai rakyat Sabah, kami terlalu teruja ingin mempersembahkan keunikan yang dimiliki,” kongsinya.
PENTAS SENI MERDEKA
Hannah berpeluang melakukan demonstrasi tarian menerusi Pentas Seni Merdeka yang dibawakan khas oleh Think City yang merupakan organisasi berfokuskan impak yang ditubuhkan pada 2009.
Selain tarian Magunatip atau dikenali sebagai tarian buluh dari suku kaum Murut, Hannah berkata, orang ramai juga disajikan dengan persembahan sumpitan serta tarian burung.
“Jadi saya memilih untuk memakai kostum seperti burung supaya orang ramai tertarik untuk bergambar. Ini juga adalah tarian etnik yang diinspirasikan daripada burung,” katanya.